MOHD Amin Nur Izwan Jamaluddin, 21, (kiri) guru tuisyen yang didakwa di Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini. FOTO Mikail Ong
MOHD Amin Nur Izwan Jamaluddin, 21, (kiri) guru tuisyen yang didakwa di Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini. FOTO Mikail Ong
Oleh Hadzlihady Hassan


Balik Pulau: Seorang guru tuisyen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan merangsang tiga kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun untuk melakukan kelucahan melampau dengannya.

Mohd Amin Nur Izwan Jamaluddin, 21, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di rumah sewanya di alamat 5-2-3 Lengkok Mahsuri, Bayan Baru dekat sini dari Februari hingga Mei lalu.

Tertuduh yang juga pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah kebangsaan di Bayan Baru dekat sini didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Sitarun Nisa membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 12:02 PM