SEORANG lelaki menyejukkan badannya di kawasan berlopak di jalan raya di Karachi.

Karachi: Jumlah kematian akibat gelombang haba di Pakistan menjangkau 1,000 orang semalam.

Pihak berkuasa menjangka jumlah itu akan meningkat.

Sementara itu, awan dan suhu lebih rendah di Karachi membawa sedikit kelegaan kepada penduduk di bandar yang paling teruk mengalami fenomena itu.

Rumah mayat dan penggali kubur di Karachi - bandar terbesar dan hab ekonomi Pakistan - tidak menang tangan dengan jumlah mayat yang semakin bertambah sejak suhu panas luar biasa melanda hujung minggu lalu.

Hospital juga berdepan dengan krisis sementara pusat rawatan strok haba didirikan di sekitar bandar itu untuk merawat puluhan ribu penduduk yang terkesan.

Jurucakap badan kebajikan terbesar Pakistan Yayasan Edhi, Anwar Kazmi berkata: “Jumlah kematian menjangkau 1,000 dan dijangka meningkat sehingga 1,500.”

Berdasarkan pemeriksaan AFP di hospital sekitar Karachi, 1,079 dipercayai mati akibat gelombang haba itu.

Hospital di Karachi merawat hampir 80,000 orang setakat ini.

Selepas beberapa hari mengalami cuaca lebih 40 darjah Celsius, tiupan angin laut dan kehadiran awan mengurangkan sedikit kepanasan di bandar pelabuhan itu sejak dua hari lalu.

Jabatan Kaji Cuaca meramalkan suhu sekitar 34 darjah Celsius semalam dengan 75 peratus ruang udara bandar raya itu dilitupi awan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:18 AM