New York: Warden trafik di New York mengeluarkan dua saman terhadap sebuah kereta tanpa menyedari mayat pemiliknya berada di dalam.

Mayat Mamadou Barry, 47, ditemui tengah hari kelmarin (waktu tempatan) di dalam keretanya di Brooklyn.

Terdapat dua notis saman pada keretanya dengan yang pertama bertarikh 16 Jun.

Walaupun kereta itu diparkir di tempat terlarang dan kenderaan lain turut dikenakan saman, tidak sesiapapun terfikir untuk memeriksa dalam kereta itu.

Lebih pelik lagi, satu saman diletakkan pada cermin depan kereta itu dan satu lagi ditemui di dalam kenderaan berkenaan.

Saksi mendakwa warden trafik dilihat menyaman kenderaan di depan dan belakang kereta Barry, tetapi tidak keretanya baru-baru ini.

Polis kini menyiasat kenapa saman tidak diletakkan dalam kejadian terbaru itu, atau warden terbabit melihat Barry masih hidup.

Sementara itu, anak saudara Barry Mamdou Balde, 45, berkata, lelaki itu menghidap beberapa penyakit.

“Dia lelaki baik,” kata Balde.

Barry dipercayai mati akibat penyakit biasa.

Kali terakhir dia dilihat rakan serumahnya ialah pada 15 Jun lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:23 AM