Agensi

Olomouc, Republik Czech: Kempen England pada Kejohanan Bawah 21 Tahun Eropah berakhir memilukan apabila mereka kecundang 1-3 di tangan Itali, awal pagi semalam.

Ketika Portugal seri dengan Sweden dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, satu mata akan menyaksikan England ke separuh akhir.

Namun mereka melepaskan gol awal babak pertama apabila Andrea Belotti dan Marco Benassi menjaringkan gol.

Benassi menambah gol kedua menerusi tandukan manakala Nathan Redmond menjaringkan gol lewat buat England yang berakhir di tangga tercorot.

Kemenangan England ke atas Sweden Ahad lalu bermakna mereka meninggalkan kejohanan di Republik Czech dengan hanya satu kemenangan dan buat kali ketiga berturut-turut, Young Lions gagal melepasi peringkat kumpulan.

Jurulatih Gareth Southgate adalah sebahagian daripada skuad England yang meraih kelayakan ke Piala Dunia 1998 apabila seri 0-0 dengan Itali di laman lawan, namun pasukannya gagal mempamerkan kemantapan dan disiplin.

Kapten Jack Butland berkata, England “tidak mempunyai sebarang alasan” selepas tersingkir dan ketumpulan serangan menjadi antara punca kegagalan mereka.

“Seperti yang anda boleh bayangkan, saya amat kecewa. Kami tidak cukup bagus hari ini.

“Kami melepaskan dua gol bodoh dalam masa dua minit dan ia menguburkan impian kami pada kejohanan ini,” kata penjaga gol Stoke itu.

Sekalipun menampilkan penyerang utama Tottenham, Harry Kane yang menyerlah dalam Liga Perdana musim lalu, England gagal merobek pintu gol lawan dan Kane sendiri mensia-siakan beberapa peluang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:29 AM