Ishak
Sri Ayu Kartika Amri dan Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Segelintir pembeli rumah pertama dilihat tidak peka mengenai proses sebelum membeli rumah terutama membabitkan penyelidikan hak milik dan harga hartanah serta tahap kelayakan pinjaman perumahan berdasarkan kelayakan pendapatan masing-masing.

Presiden Persatuan Ejen Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Ishak Ismail berkata, perkara itu dilihat menjadi penyumbang utama menyebabkan segelintir individu mengalami masalah ketika melakukan transaksi pembelian rumah.

“Untuk memastikan perkara ini tidak berlaku, individu yang ingin membeli rumah perlu memastikan tiga perkara utama iaitu usaha mencari ilmu berkaitan perumahan, kemahiran dan niat sebenar pembelian hartanah terbabit,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, tiga perkara penting perlu diberi penekanan sebelum melakukan urusan pembelian rumah iaitu mereka perlu memastikan hartanah yang ingin dimiliki mempunyai geran dengan melakukan carian hak milik.

“Langkah ini penting bagi memastikan geran yang diperolehterletak di lokasi rumah yang ingin dimiliki sekali gus mengelak penipuan dalam kalangan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Ishak berkata, bakal pembeli juga perlu mencari hartanah yang berada pada julat harga pasaran dan tidak terlalu tinggi bagi mengelak sebarang masalah jika ingin menjual kembali hartanah terbabit, sekali gus mengurangkan kebarangkalian pemohonan pembiayaan ditolak pihak bank.

“Selain itu, mereka perlu memastikan tahap kelayakan bagi pinjaman perumahan bersesuaian apabila mereka boleh melakukan semakan di bank. Mencari rumah sesuai dengan pendapatan penting dalam usaha menjamin kelancaran pembelian rumah atau hartanah,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu bijak dalam pembelian rumah kerana ia membabitkan penggunaan wang simpanan masing-masing. Apa paling penting, mereka perlu memastikan pelaksanaan langkah pembelian rumah selamat, hartanah yang ingin dimiliki memberi nilai pada masa depan dan memberi pulangan jika ia dilakukan untuk pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:08 AM