Pekin Ibrahim
Pekin Ibrahim
Syanty Octavia Amry


Tidak pernah memikirkan soal populariti atau kesan lakonannya kepada peminat, pelakon Pekin Ibrahim lebih memfokuskan sumbangannya terhadap industri lakonan tanah air sekiranya dia bersara satu hari nanti.

Tidak hairanlah dapat kita lihat setiap watak yang dilakonkannya berbeza-beza malah ada yang kurang memberi kesan kepada penonton meskipun watak dilakonkan itu menjadi tarikan dalam sesebuah drama atau filem berkenaan.

Bertemu Pekin baru-baru ini, dia berkata, buat kali kedua dia menerima tawaran berlakon drama bersiri selepas membaca naskhahnya yang begitu menarik dan berbeza dengan watak lakonannya sebelum ini. Tambahan pula siri ini adaptasi daripada novel yang lebih 20 tahun berada di pasaran.

"Pada awal kemunculan dulu saya kerap berlakon drama bersiri dan telefilem. Boleh dikatakan muka saya sering menghiasi kaca televisyen. Apabila terlalu lama berkeadaan begitu saya mula terasa perlu melakukan perubahan dalam karier kerana saya juga bukan seorang yang suka keadaan begitu.

"Apabila bertemu dengan pengarah Mamat Khalid dan pelakon, Khir Rahman saya berkongsi apa yang saya rasai. Syukur mereka berdua antara orang yang banyak memberi sema­n­gat.

"Pada saya apabila sudah berada dalam industri ini, bermula­ dengan pelbagai kepayahan yang saya lalui pastinya saya mengharapkan sesuatu yang berbaloi," katanya pada majlis pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya, Bercakap Dengan Jin.

Katanya lagi, dia bukanlah seorang yang ingin mengejar populariti semata-mata. Malah sejak mula berlakon sekitar 2003, pelbagai pengalaman dilalui anak muda kelahiran Kelantan ini.

"Bukan mudah untuk menjadi seorang anak seni. Justeru, apabila diberi peluang berlakon dalam pelbagai watak dan puas berlakon drama dan telefilem, kini saya me­nyasarkan untuk fokus terhadap filem.

"Tidak kisahlah filem itu memberi impak pada saya atau tidak, sekurang-kurangnya saya berharap dapat memberi sedikit sumbangan terhadap seni lakonan melalui pelbagai watak yang saya jayakan," katanya.

Menerusi Bercakap Dengan Jin drama 13 episod terbitan Skop Production Sdn Bhd itu, Pekin bergandingan dengan pelakon hebat Datuk Rahim Razali.

Mengakui banyak cabaran dalam melakonkan drama ini, Pekin berkata ini adalah antara drama yang begitu mencabar emosi dan fizikalnya.

Malah ada beberapa babak membabitkan menyelam dalam sungai turut mencabar dirinya kerana perlu berada dalam sungai pada awal pagi yang dingin.

"Lama tidak berlakon drama bersiri, selepas mula sibuk berlakon filem saya hanya mahu fokus terhadap filem saja. Tetapi apabila melihat skrip dan jalan cerita Bercakap Dengan Jin ini saya tertarik.

"Tambahan pula drama ini sudah lama mempunyai novelnya sendiri. Saya sendiri pernah mengikuti novel ini dan apabila ditawarkan watak untuk drama novel ini saya begitu tertarik dan tidak sabar melakonkannya meskipun perlu melalui pelbagai cabaran yang kadang kala sangat menduga akal," kata­nya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:01 AM