Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib tidak pernah meluluskan pembelian hartanah di Melbourne, Australia oleh anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Incorporated).

Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa berkata, kelulusan daripada Lembaga Ahli Lembaga Pengarah MARA Incorporated dibawa kepada Majlis MARA sebelum dibawa ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta Majlis Ekonomi yang dipengerusi Perdana Menteri.

“Namun, ada yang pusing kenyataan saya daripada soal jawab itu mengatakan Perdana Menteri meluluskan pembelian itu.

“Sebenarnya selepas dibawa kepada Kementerian Kewangan (MOF), ia tidak diluluskan oleh Perdana Menteri dan MOF menghantar surat pada 10 Mei bagi memaklumkan perkara itu.

“Jadi, KKLW dan MARA kemudian membawa rayuan kepada Majlis Ekonomi kerana di dalamnya terdapat wakil dari Bank Negara Malaysia, lebih ramai menteri ekonomi yang berada di situ dan dibincangkan pula di peringkat Majlis Ekonomi kerana ia membabitkan pinjaman dan aset luar negara, serta diluluskan di peringkat itu,” katanya ketika ditemui media di luar perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.

Pembelian apartmen Dudley International House diluluskan Majlis Ekonomi pada 3 Jun 2013 dan pelaburan ini disempurnakan melalui penapisan serta ‘due diligence’ oleh perunding bertauliah sebelum diangkat untuk kelulusan tertinggi.

Annuar berkata, kelulusan di peringkat Majlis Ekonomi dibuat dengan membenarkan MARA menggunakan dana sebanyak 30 peratus saja untuk semua empat pembelian hartanah, manakala selebihnya dikehendaki mendapatkan pinjaman dari bank.

Beliau berkata, semua aset yang dibeli di Australia adalah dibiayai WestPac Bank dan National Bank of Abu Dhabi, malah penilaian dan ‘due diligence’ (usaha sewajarnya) dibuat mengikut peraturan memandangkan syarat daripada bank yang sangat ketat.

Kelmarin, Najib meluahkan kekecewaannya apabila kenyataan Annuar berhubung pembelian hartanah di Melbourne diputar belit oleh sesetengah media.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:21 AM