Kuala Lumpur: Di sebalik kegembiraan, ada berita kurang menyenangkan buat penyokong Tok Gajah apabila kejuaraan Piala Malaysia kelmarin bakal menjadi hadiah terakhir daripada tonggak tengah Hafiz Kamal (gambar).

Ini kerana pemain yang menjadi wira dengan menyumbat gol kemenangan Pahang pada aksi penentuan sepakan penalti 5-3 ke atas Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di pentas final mengesahkan akan berpindah ke pasukan baru dinaikkan taraf ke Liga Super musim depan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Hafiz, 27, dia gembira kerana dapat menghadiahkan trofi Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut buat penyokong Tok Gajah sebelum mengucapkan selamat tinggal.

“Saya sangat gembira kerana ini final paling manis buat saya sebelum menyertai PDRM. Kemenangan ini sangat manis dan tidak boleh dilupakan.

“Ini hadiah istimewa saya untuk penyokong Pahang yang sentiasa bersama pasukan selama ini,” katanya kepada Arena Metro selepas tamat perlawanan kelmarin.

Hafiz yang dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala AFF hujung bulan ini tidak berada dalam kesebelasan utama pada perlawanan akhir kelmarin apabila jurulatih Zainal Abidin Hassan memilih Faizol Hussain bergandingan bersama Azidan Sarudin.

Bagaimanapun pemain kelahiran Perak itu dimasukkan pada minit ke-63 menggantikan Faizol dan kehadirannya membantu memantapkan jentera tengah selepas Tok Gajah beraksi dengan 10 pemain hingga ke masa tambahan susulan pemain pertahanan Saiful Nizam Miswan dikenakan kad merah.

“Saya memang rasa gementar ketika mengambil sepakan penalti itu, tapi cuba sedaya menyempurnakan tugas itu. Itu gol cukup penting dalam karier saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:01 AM