sihat

Pembedahan berisiko tinggi

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

"LULUH hati saya melihat anak terpaksa menangggung kesakitan pada usianya yang masih kecil. Lebih menyedihkan apabila melihat dia menangis setiap kali tangannya dicucuk jarum untuk dimasukkan ubat," luah Siew Ting, 35.

Siew Ting ialah ibu kepada Fenix Yong Huayi, bayi berusia 17 bulan yang menghidap penyakit hati kronik, 'biliary atresia' atau saluran hempedu tersumbat. Fenix menjalani pemindahan hati yang didermakan bapanya, Augustine Yong Chin Kiong, 39, dalam pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Jun lalu.

Siew Ting dari Bintulu, Sarawak berkata, anaknya disahkan menghidap biliary atresia sejak lahir dan menjalani pembedahan Kasai di sebuah hospital di Sarawak pada usianya tiga bulan.

Pembedahan Kasai ialah pembedahan bagi membuang duktus hempedu yang rosak dan penyambungan bahagian usus terus ke hati supaya hempedu dapat mengalir dari hati terus ke usus. Ia juga perlu dilakukan untuk mengelakkan hati menjadi lebih teruk.

Namun, katanya, selepas pembedahan Kasai keadaan anaknya semakin teruk, kerap demam dan sering dimasukkan hospital.

"Atas nasihat rakan, saya membawa Fenix menjalani pemeriksaan di PPUM dan disarankan menjalani pemindahan hati kerana keadaan hati anak semakin teruk selain bagi menyelamatkan nyawanya.

"Saya bersyukur hati suami sesuai didermakan kepada Fenix dan kini kesihatan anak semakin baik," katanya.

Pakar Perunding, Jabatan Surgeri PPUM, Prof Madya Dr Yoong Boon Koon berkata, setakat ini 10 pesakit berjaya menjalani pembedahan hati di PPUM membabitkan enam kanak-kanak dan empat dewasa.

"Pemindahan hati ialah pembedahan yang berisiko tinggi membabitkan lebih 30 kepakaran daripada pelbagai bidang pembedahan seperti hepatobiliari, kanak-kanak dan plastik, bius (pakar anestisiologi), pakar radiologi, pakar rawatan rapi kanak-kanak, pakar kaji hati kanak-kanak, pakar patologi, jururawat dewan bedah dan unit rawatan rapi kanak-kanak serta dewasa."

"Proses pembedahan ini rumit dan lazimnya mengambil masa di antara lapan hingga 12 jam," katanya.

Beliau berkata, penerima hati perlu bergantung kepada ubat khas iaitu 'tacrolimus' sepanjang hayat.

"Ubat ini sangat penting digunakan bersama ubat lain untuk mencegah penolakan hiperakut yang boleh berlaku hingga 48 jam selepas pemindahan hati

"Ubat ini berfungsi untuk menurunkan daya tahan tubuh supaya badan tidak menolak organ baharu (hati).

"Jika perkara ini terjadi (penolakan), ia boleh menyebabkan hati baharu rosak dan akhirnya membahayakan nyawa pesakit (penerima hati)," katanya.

Katanya, terdapat beberapa jenis ubat lain, tetapi 'tacrolimus' adalah paling kerap digunakan bukan saja di PPUM malah

peringkat antarabangsa.

"Dalam kes terpencil, pesakit akan mengalami jangkitan luar biasa iaitu virus Epstein Barr (EBV) yang boleh merangsang pertumbuhan barah kelenjar limfa, kesan pengambilan ubat ini untuk mengurangkan daya tahan tubuh," katanya.

Menyentuh penjagaan kesihatan penderma, Dr Yoong berkata, penderma perlu sihat sepenuhnya tanpa menghidap sebarang penyakit termasuk masalah hati berlemak sebelum menderma organ.

"Individu yang sihat, tidak sesuai menjadi penderma jika terdapat 30 peratus lemak pada hatinya.

"Kebanyakan masyarakat di Malaysia mempunyai masalah hati berlemak yang boleh menyebabkan keradangan, hati tidak sihat dan mengeras," katanya.

Katanya, golongan ini tidak sesuai menjadi penderma kerana pembedahan bukan saja membahayakan nyawa penderma malah penerima hati.

Sementara itu, Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pediatrik, Prof Madya Dr Ng Ruey Terng berkata, hati berfungsi untuk mengeluarkan toksin dalam tubuh.

"Pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit hati pada peringkat awal tidak menunjukkan sebarang gejala atau merasai kesakitan.

"Gejala semakin ketara apabila tubuh mula menampakkan perubahan warna kulit dan kawasan mata putih kepada kekuningan, badan menjadi kurus, tidak aktif dan tumbesaran terjejas.

"Pada tahap yang teruk, cecair mula berkumpul dalam badan yang menyebabkan perut pesakit kanak-kanak membesar," katanya.

Beliau berkata, keadaan ini turut menyebabkan pesakit mengalami kekeliruan, tumpuan dan tidur terganggu serta emosi tidak stabil kesan daripada toksin yang terdapat dapat tubuhnya.

"Kita tidak mengetahui punca sebenar seorang bayi boleh menghidap 'biliary atresia'.

"Sebanyak 80 peratus pesakit mula menunjukkan gejala pada usia 30 hari selepas dilahirkan," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2020 @ 7:00am
d