FERRARI 488 GTB.
ENJIN menyalurkan 661 hp.
RUANG kokpit lebih sporty.
MEMILIKI elemen rekaan yang tersendiri.
Oleh Erywan Norshal


Tidak sampai empat bulan dipertontonkan secara global di Pameran Motor Geneva 2015 lalu, Ferrari 488 GTB kini secara rasminya dilancarkan buat pasaran Malaysia bagi menggantikan model 458 Italia.

Malah, kehadiran Ferrari 488 GTB itu menjadi kenderaan pertama dilancarkan di rantau Asia Tenggara menerusi pengimport eksklusif kereta Ferrari di Malaysia, Naza Italia.

Menariknya jentera ini dibekalkan rangkaian enjin berkuasa V8 bersesaran 3,902cc dengan pengecas turbo berkembar yang menjadi penanda aras bagi sektor kereta sport premium pada masa ini.

Enjin itu mampu meledakkan kuasa maksimum 661 hp pada 8,000 rpm dengan tork setinggi 760 Nm dengan kemampuannya memecut antara 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam tiga saat. Malah, ia boleh dipandu melebihi 330km/j.

Padanan transmisi klac berkembar Formula Satu dengan tujuh kelajuan turut memberi kelebihan terhadap penggunaan bahan api yang mencatatkan 11.4 liter bagi 100km.

Ferrari 488 GTB menyalurkan kuasa output paling tinggi dalam mana-mana model kereta keluarannya, berprestasi tinggi dengan penggunaan bahan api yang lebih ekonomi, sekali gus akan menjadi kegemaran rakyat negara ini.

Bentuknya direka oleh ‘Ferrari Style Centre’ dengan rekaan serba baru yang lebih sporty dan klasik. Malah setiap perinciannya memiliki elemen rekaan yang tersendiri. Model itu turut membuka lembaran baru dalam sejarah penciptaan jentera Ferrari dengan seni reka yang tersendiri.

Harga pengenalan model itu adalah RM1.07 juta tidak termasuk duti dan opsyen.

INFO

- ENJIN: 3,902cc V8

- TRANSMISI: F1, klac berkembar tujuh kelajuan

- KUASA MAKSIMUM: 661 hp pada 8,000 rpm

- TORK MAKSIMUM: 760 Nm pada 3,000 rpm

- MASA 0-100 KM/J: 3 saat

- KELAJUAN MAKSIMUM: Melebihi 330km/j

- KAPASITI TANGKI: 78 liter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:06 AM