ZAQHWAN (kanan) meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan bersama Affendi (tengah) dan Afif.

Seremban: Buruan gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2014 berakhir lebih awal apabila ketiga-tiga kategori CP130, CP115 dan Wira diketahui pemiliknya sebaik pusingan kesembilan kejuaraan di Jempol, semalam.

Masih berbaki satu pusingan di Kedah hujung bulan ini, Mohd Zaqhwan Zaidi yang menjuarai lima perlumbaan musim ini dinobat juara keseluruhan sebaik berjaya menamatkan perlumbaan akhir di tangga ketiga dengan masa 14 minit 46.782 saat.

Dengan 16 mata kejuaraan yang dipungut, pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu tidak mampu dicabar pelumba lain selepas mengumpul 161 mata keseluruhan, 30 mata di depan Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha-CKJ) yang muncul naib juara dengan masa 14:45.911s.

Rakan sepasukan Afif, Mohd Affendi Rosli muncul juara selepas menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa 14:44.125s.

“Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata kejayaan ini. Kemenangan ini dinanti-nantikan sejak beberapa tahun lalu dan akhirnya ia terlaksana,” jelas anak didik bekas pelumba MotoGP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini itu.

“Saya berterima kasih kepada pengurus Shahrol Yuzy dan seluruh pasukan kerana bekerja keras selama beberapa tahun. Begitu juga keluarga yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya selama ini serta penyokong, penaja dan semua yang banyak membantu saya untuk bergelar juara CP130.”

Persaingan kini terarah kepada pemburuan tangga kedua dan ketiga keseluruhan antara Afif yang kini berada di tangga kedua dengan 131 mata manakala Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dan Affendi terikat 121 mata.

Sementara itu, gelaran juara CP115 di Jempol menobatkan Mohd Izzat Zaidi Salehan (Motul Yamaha YY Pang) sebagai juara keseluruhan selepas mengumpul 178 mata keseluruhan, 30 mata di depan rakan sepasukan, Zaidy Mohd Zaifaizal, 148 mata yang menamatkan saingan di tempat kelapan.

Izzat menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 12:30.085s mengatasi Elly Idzlianizar Ilias (M Seki Liberty Honda) di tempat kedua, 12:31.023s. Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor, Abd Muhaimin Roslan ketiga, 12:33.743s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:02 AM