Milan: Penyandang juara Juventus berjaya mendahului Serie A dengan kelebihan tiga mata awal pagi semalam apabila menang 2-0 ke atas pasukan yang sedang bergelut Empoli manakala pencabar utama AS Roma tewas 0-2 kepada Napoli.

Pada perlawanan lewat pagi semalam, Inter dikejutkan dengan kekalahan 0-2 di tangan Parma.

Andrea Pirlo dan Alvaro Morata menjaringkan gol untuk Juve pada pertembungan pertama antara kedua-dua pasukan sejak 2008.

Pirlo membuka tirai jaringan untuk gol pertamanya musim ini, hasil sepakan percuma yang berjaya melepasi benteng dan menumpaskan penjaga gol Davide Bassi.

Percubaan bekas pemain Empoli, Claudio Marchisio mengenai palang sebelum bekas pemain Real Madrid, Morata menjadikan kedudukan 2-0 hasil percubaan lencong kaki kiri.

Pada perlawanan lebih awal, jaringan menarik Gonzalo Higuain pada awal saingan dan gol minit akhir Jose Callejon membolehkan Napoli melakar kemenangan berharga 2-0 ke atas pencabar kejuaraan liga, Roma dan kini mereka berada di tempat ketiga.

“Saya sudah lama bercakap mengenai perkara ini, kami perlu mencatat kemenangan. Saya tidak berhak dipuji untuk kemenangan ini, ia adalah hasil usaha pemain,” kata Benitez.

Sementara itu Parma berjaya keluar daripada kedudukan tercorot liga dengan kemenangan 2-0 di tempat sendiri ke atas Inter. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:03 AM