KESERONOKAN pelajar mengendalikan robot hasil ciptaan mereka selama dua hari jelas tergambar pada program Kem Teknologi KPerak di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad, Lenggong, Perak, baru-baru ini.
DUA pelajar sibuk menyiapkan tugasan masing - masing.
TEKUN mengendalikan permainan robotik yang menguji kemahiran dan kecekapan minda mereka.
Oleh D J Dolasoh


Keseronokan 100 pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah dalam permainan robotik meninggalkan kesan mendalam kepada mereka kerana permainan itu menguji kecerdasan minda, kreativiti dan inovatif.

Program dua hari anjuran KPerak Implementation dan Coordination Corporation dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak bertempat di SMK Dato’ Ahmad, Lenggong, Perak, baru-baru ini, memberi peluang peserta bertanding pada hari kedua.

Seramai 50 peserta dari tujuh sekolah menengah dan 50 lagi dari 21 sekolah rendah menyertai kem yang merang­kumi bengkel bimbingan robotik aras satu dan dua sebagai pendedahan bagi menjana pemikiran kreatif dan inovasi melalui permainan robot ciptaan sendiri.

Pelajar menengah dan rendah yang diasingkan sepanjang program itu diberi peralatan lengkap oleh pihak penganjur kepada dua peserta bagi setiap kumpulan agar mencipta pelbagai jenis robot mengikut kreativiti.

Hasil ciptaan mereka dinilai berdasarkan kreativiti rekaan robot dan pembentangan sebelum diadakan pertandingan. Kategori sekolah menengah perlawanan bola sepak menggunakan robot dan sekolah rendah perlumbaan kelajuan robot hasil ciptaan mereka itu.

Seorang peserta, Nurul Ezziaty Saiful Bahari, 16, dari SMK Dato’ Ahmad berkata, minatnya mencipta robot sejak setahun lalu timbul selepas menyaksikan beberapa filem berkaitan robot di televisyen.

“Saya dan rakan gembira dipilih menyertai kem ini kerana banyak menjana kreativiti dan inovasi ketika mencipta robot dan fungsinya,” katanya yang membuat rekaan mixer yang berfungsi untuk mengadun kek.

Sementara itu, johan pertandingan robot bagi kategori sekolah menengah, Mohd Zulhilmi Bakhtiar, 16, dan Ammar Zulhaziq Zulkefli, 16, dari SMK Sultan Azlan Shah, Lenggong tidak menyangka robot ciptaan mereka me­ngalahkan peserta lain dalam perlawanan bola sepak.

Dia mengalahkan peserta dari SMK Tan Sri Abdul Aziz, Lenggong pada perlawanan akhir.

“Kemenangan kami bukan saja bergantung kepada kreativiti ciptaan robot itu tetapi kebolehan kawalan ketika perlawanan,” katanya.

Hadiah kemenangan disampaikan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Perak (Bahagian Vokasional dan Teknik), Abdul Aziz Arshad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 9:52 AM