NURUL Suhada (tengah) mempamerkan pingat dimenanginya.
NURUL Suhada (tengah) mempamerkan pingat dimenanginya.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Belum puas dengan dua emas. Itulah yang diluahkan pelumba basikal negara, Nurul Suhada Zainal yang kali pertama menyertai Sukan Polis dan Bomba Sedunia (WPFG) 2015 Virginia, Amerika Syarikat.

Semalam, Nurul Suhada sekali lagi cemerlang dengan meraih pingat emas ke
dua dalam acara basikal bukit, selepas bermula sempurna dengan memenangi emas sulung bagi disiplin kriterium terbuka kelmarin.

Menurut pelumba kelahiran Terengganu itu, ketika menjejakkan kaki di Amerika Syarikat dia tidak tahu kemampuan pencabar dari negara lain dan dia bertambah yakin selepas meraih emas pertama kelmarin.

“Saya akan cuba membawa pulang empat pingat emas, kerana selepas ini saya akan beraksi dalam acara ujian masa individu (ITT) esok (hari ini) dan lebuh raya Khamis ini (esok),” kata pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2015 Singapura itu.

Jelasnya, sebelum ini dia hanya menetapkan sasaran untuk berada dalam kedudukan lima atau 10 pelumba terbaik namun semangatnya semakin membara selepas berjaya menghadiahkan dua emas untuk majikannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pingat gangsa yang dimenangi di Singapura baru-baru ini jelas sekali menjadi pembakar semangat buat saya untuk mempamerkan aksi lebih cemerlang di sini.

“Kejohanan ini amat mencabar kerana saya bersaing dengan anggota polis seluruh dunia,” katanya yang bertugas di Balai Polis Sri Hartamas.

Turut meraih emas semalam ialah Muhammad Fauzan Ahmad Lufti bagi kategori lelaki basikal bukit memadamkan kekecewaan kelmarin sekadar menggondol perak dalam acara kriterium.

Atlet bina badan negara Sazali Samad 47, turut meraih emas kelmarin menjuarai kategori umur atas 40 tahun.

Azahar Mahamad muncul atlet paling cemerlang apabila meraih dua emas, juga dalam kategori umur 40 tahun ke atas.

Tiga lagi emas PDRM disumbangkan oleh Othman Yahya, Ismadi Riji dan Muhamad Aliff Firdaus Alias.

Malaysia turut meraih sebutir gangsa menerusi Aloysius Jaimon @ George.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 7:59 AM