AHMAD Sarji (kiri) dan Presiden Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman mengekalkan kadar pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan 2015.
AHMAD Sarji (kiri) dan Presiden Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman mengekalkan kadar pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan 2015.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Bhd, anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 3.45 sen seunit bagi dana Amanah Saham Nasional 2 (ASN2) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2015.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar itu bersamaan dengan 6.9 sen seunit yang diumumkan pada tahun lalu.

Beliau berkata, agihan itu mengambil kira pelaksanaan pecahan unit sebanyak seunit kepada satu unit pegangan oleh pemegang unit ASN2 pada 18 Julai 2014.

“Kadar sebanyak 3.45 sen seunit yang berdasarkan kepada nilai tara 50 sen, adalah bersamaan dengan kadar 6.90 sen seunit pada nilai RM1.00 iaitu kadar yang diumumkan oleh ASN2 tahun lalu.

“Kadar agihan pendapatan kali ini, membabitkan pembayaran sebanyak RM44.15 juta, peningkatan 135.2 peratus berbanding RM18.77 juta yang dibayar tahun lalu,” katanya pada sidang media majlis pengumuman agihan pendapatan ASN2 di sini, semalam.

Ahmad Sarji berkata, pengagihan pendapatan ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 19,557 pemegang unit yang melanggan sebanyak 1.28 bilion unit ASN2.

Menurutnya, sehingga 26 Jun lalu, ASN2 mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM30.50 juta dan 52.2 peratus atau RM30.50 juta daripada pendapatan dividen melalui pelaburan dalam syarikat manakala keuntungan daripada penjualan saham yang menyumbang RM10.36 juta atau 34 peratus.

Beliau berkata, baki RM4.22 juta atau 13.8 peratus daripada jumlah itu diperoleh daripada instrumen lain dan prestasi keseluruhan tahun lalu mencabar berikutan dana terbabit dipengaruhi oleh prestasi pasaran saham tempatan serta global.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, walaupun tahun yang mencabar, melihat kepada saiz pendapatan, ASN2 mempunyai kapasiti edaran sebanyak lapan sen seunit atau 16 sen sebelum pecahan.

“Kami menyimpan lebih banyak pada tahun ini bagi membolehkan pengurus dana merebut peluang mencari saham dengan nilai yang baik bagi tujuan penyusunan semula portfolio untuk strategi pelaburan jangka panjang,” katanya.

Semua transaksi ASN2 ditangguhkan mulai 24 Jun hingga 30 Jun 2015 untuk memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan dan pemegang unit akan dapat mengemaskini akaun mereka mulai hari ini.

Bagi pemegang unit yang melanggan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dividen akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:20 AM