KEADAAN mangsa mercun buatan sendiri di Kampung Kubang Palas, Wakaf Bharu, Tumpat. FOTO Zaman Huri Isa
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pelajar lelaki berusia 15 tahun hancur empat hujung jari kanannya kecuali jari kelingking selepas terkena mercun buatan sendiri dalam kejadian di Kampung Kubang Palas, Wakaf Bharu, Tumpat, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, mangsa, Muhammad Rizaimie Zamri bermain bersama tiga rakan berdekatan rumahnya.

Menceritakan kejadian, ibu mangsa Che Rosmaini Che Sulaiman, 38, berkata, anak kedua daripada lima beradik itu keluar rumah sebaik berbuka puasa.

Katanya, beberapa minit kemudian dia terdengar bunyi dentuman kuat dari sebelah rumahnya.

"Saya menyangka budak kampung yang bermain mercun, namun sangkaan itu meleset sebaik dimaklumkan anak saya cedera terkena mercun.

"Saya bergegas turun dan melihat anak sudah menaiki kereta untuk dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) oleh abang saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 11:22 AM