MISI Malaysia untuk layak ke Olimpik Rio semakin tipis apabila tewas 2-3 kepada India dalam aksi suku akhir mendebarkan di
Stadium KHC Dragons, sebentar tadi.
Kini Malaysia perlu mencapai kedudukan terbaik di tempat ke-5 sambil menaruh harapan ada ruang untuk mereka
dibenarkan beraksi di Brazil tahun depan sebagai pasukan simpanan ketiga.
Kekalahan itu bermakna Malaysia akan beraksi untuk klasifikasi tempat ke-5/8.
Skuad negara yang perlukan kemenangan menampilkan kesungguhan tinggi untuk memenangi perlawanan itu apabila
berjaya menyaingi India dari setiap segi sepanjang perlawanan itu.
Seperti dijanjikan, pemain negara berjuang untuk setiap bola dengan memiliki banyak peluang membocori gawang India
cuma kegagalan mengaut kesempatan terhidang menyebabkan mereka sekadar mendahului 2-1 apabila tamat separuh
masa.
Begitupun, India yang terlebih dulu menyuntik rasa resah buat penyokong negara apabila mereka mendahului pada minit
ke-3 hasil jaringan padang Satbir Singh.
Tetapi gol itu tidak melemahkan sebaliknya menyemarakkan semangat pemain negara untuk menampilkan kebangkitan
apabila menjaringkan dua gol menerusi sudut penalti dengan Muhamad Razie Rahim dan Shahril Saabah memanfaatkan
gerakan set piece itu pada minit ke-15 dan 23.
Malaysia mengekalkan momentum cemerlang sehingga minit ke-48 apabila Jasjit Singh Kular menjadikan kedudukan 2-2 hasil
sudut penalti sebelum dia muncul pemusnah harapan seluruh rakyat Malaysia apabila menjaringkan gol lima minit sebelum tamat perlawanan
Malaysia bagaimanapun berpeluang menyamakan kedudukan seminit sebelum tamat tapi Razie gagal memanfaatkan sudut penalti diterima dan pukulan susulan Tengku Ahmad Tajuddin pula terkena tiang.
Terdahulu, pasukan nombor satu dunia Australia menewaskan Ireland 4-1 manakala Britain mendudukkan Pakistan 2-1.
Justeru, Australia yang bukan saja dianggap pilihan untuk memenangi tiket ke Olimpik Rio, tapi juga menjuarai kejohanan ini
dan mara ke Pusingan Akhir Liga Hoki Dunia di India, hujung tahun ini akan menentang Britain di separuh akhir Jumaat ini.
Sementara itu, dalam aksi klasifikasi tempat ke-9, Poland menang 4-2 untuk menolak China ke tangga tercorot.