AMYERA dan Yusmalisa sentiasa berkongsi pendapat demi memajukan perniagaan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Keakraban mereka jelas kelihatan. Mereka bukan saja mempunyai impian dan cita-cita yang sama dalam perniagaan tetapi juga pada cita rasa penggayaan. Kedua-duanya memakai kasut jenama sama, begitu juga beg tangan yang dibeli bersama.

Malah pemilihan kenderaan turut mempengaruhi antara satu sama lain apabila kedua-duanya memilih Volkswagen Beetle dan Range Rover sebagai kenderaan harian.

Menjelaskan perkara itu, pengasas Amyera Beauty Fatin Amyera Zainal Abidin dan pengasas Perla Coffee, Yusmalisa Shazrenda masing-masing bersetuju pemilihan rakan baik sangat penting bagi memastikan kejayaan dalam perniagaan.

Ini kerana memiliki sahabat karib yang sama-sama berniaga membuatkan semangat untuk berjaya bertambah kuat. Apatah lagi sekiranya masing-masing mempunyai minat dan hobi yang sama sekali gus memudahkan kedua-duanya melakar impian untuk mencapai kejayaan.

“Saya dan Yusmalisa mula mengenali satu sama lain ketika mengandungkan anak pertama. Sejak itu, kami memang akrab. Perkenalan juga atas urusan perniagaan lantaran kami sama-sama berasal dari Kelantan jadi banyak cerita boleh dikongsi bersama. Sejak itu kami selalu berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan mengikuti perkembangan menerusi Facebook dan Instagram,” kata Amyera memulakan bicara.

Memulakan perniagaan dengan menjual produk kecantikan menerusi Instagram kepada rakan terdekat, lama-kelamaan produk jenama Amyera Beauty mula dikenali ramai. Disebabkan keberkesanannya, dalam masa setahun Amyera mampu mengumpul sejumlah wang simpanan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit dan berjaya melangsaikan hutangnya.

“Saya terkejut kerana tidak sangka perniagaan yang pada mulanya hanya sekadar ingin membantu suami dan membeli baju dan beg tangan, melebihi apa yang saya jangkakan. Ketika itu saya menetap di Sabah, kemudian saya ambil keputusan pulang ke Kuala Lumpur disebabkan pertambahan ejen yang ramai membuatkan saya terpaksa memberikan perhatian sepenuhnya kepada mereka,” katanya.

Jelas Amyera, mulanya dia langsung tidak menyangka produk krim siang dan malam memberikan kesan positif kepada pengguna. Oleh kerana bermula dengan kecil-kecilan, dia memberikan produk kepada rakan terdekat untuk dicuba. Selepas menampakkan hasil, ramai memberikan komen di Instagram. Mungkin kerana produk ini tidak mengandungi bahan terlarang, ia menjadi pilihan ramai. Kulit tidak mengelupas sebaliknya lama-kelamaan menjadi lebih cerah dan licin.

Bagi Yusmalisa pula, kejayaan Amyera yang sering memuat naik gambar di laman Instagram benar-benar memberikan inspirasi kepada dirinya. Dia yang mengamalkan pengambilan serbuk mutiara untuk kecantikan kulit mula memikirkan untuk menghasilkan kopi dengan campuran serbuk mutiara ini.

“Sebelum dipasarkan, saya mencuba terlebih dulu untuk melihat hasilnya. Saya juga memberikannya percuma kepada keluarga dan saudara-mara. Alhamdulillah selepas sebulan, ramai memberikan maklum balas positif kulit menjadi lebih cerah dan menawan manakala badan lebih segar,” katanya.

Melihat pengalaman Amyera, ia memberikan inspirasi kepada Yusmalisa untuk meluaskan perniagaannya dengan memasarkan produk ini menerusi Instagram. Dia juga mendapatkan ilmu mengenai teknik pemasaran berkesan dan Amyera langsung tidak lokek berkongsi ilmu.

“Saya sangat bersyukur kerana mempunyai rakan seperti Amyera yang sangat pemurah dan tidak lokek mengajar saya mengenai perniagaan. Kami pula saling memberikan sokongan antara satu sama lain. Biasanya WhatsApp menjadi teman paling setia. Apa saja yang dilakukan kami kongsi bersama. Selepas itu kami merancang produk yang boleh dikeluarkan pada masa depan dan perancangan selepas itu.

“Oleh kerana terlalu teruja serta rasa semangat yang sentiasa didorong antara satu sama lain menyebabkan saya berani mengeluarkan produk kecantikan jenama sendiri,” ujar Yusmalisa.

Jelas Amyera, dia memang tidak mempunyai rakan akrab, jika ada hanya untuk urusan perniagaan. Tetapi persahabatan yang terjalin dengan Yusmalisa sangat berbeza kerana ia berteraskan keikhlasan dan kejujuran.

“Kami boleh bercakap apa saja, jika tidak suka kami berterus terang demi kebaikan bersama. Langsung tidak simpan rasa iri hati atau dendam. Apa yang kami lakukan adalah saling lengkap melengkapi. Sekiranya saya sedang tertekan, Yusmalisa memberikan nasihat begitu juga saya sekiranya dia menghadapi masalah saya menjadi pakar rujuknya.

“Lama-kelamaan ia bukan saja dalam bab perniagaan tetapi urusan hidup. Tambahan pula saya sudah mengenali keluarga Yusmalisa begitu juga dengan keluarga saya. Suami kami juga berkawan baik, begitu juga dengan anak yang cuma berbeza usia tiga hari saja,” kata Amyera.

Jelas kedua-dua wanita jelita ini, hasil daripada perniagaan mereka mampu memiliki rumah di Kelantan dan Bandar Baru Bangi bernilai RM1.2 juta, begitu juga dengan Yusmalisa yang sudah memiliki dua rumah dan dua kereta.

Jelasnya, memang tiada perancangan untuk membeli kenderaan yang sama, tetapi ketika sesi perbincangan dan menyatakan impian dan cita-cita akhirnya kedua-dua memilih jenama kenderaan yang sama disebabkan rekaan serta memudahkan pergerakan untuk berulang-alik antara Kelantan dan Kuala Lumpur.

Bukan saja kenderaan tetapi dalam banyak perkara sememangnya Amyera dan Yusmalisa mempunyai banyak persamaan. Bagi mereka, kejayaan bukanlah disebabkan usaha gigih semata-mata tetapi juga faktor persekitaran seperti keluarga dan rakan. Memang penting memiliki rakan yang mempunyai matlamat dan impian yang sama serta sentiasa berfikiran positif.

“Walaupun ada masa jatuh dan bangun, rakan yang baik akan sentiasa memberikan dorongan antara satu sama lain. Dalam fikiran kami langsung tiada rasa cemburu atau ingin menjatuhkan satu sama lain, sebaliknya saling bantu-membantu agar kami sama-sama mencapai impian dalam hidup,” kata Yusmalisa.

Amyera pula tidak pernah menyangka akan mengecap kejayaan sebagai usahawan. Tetapi disebabkan keinginan merubah kehidupan terlalu kuat, dia mengambil langkah drastik untuk memulakan perniagaan sendiri.

Baginya, apa juga dilakukan pasti ada cabarannya begitu juga dengan penghasilan jenama Amyera Beauty yang suatu ketika dulu dikatakan tidak mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia, namun dia membuktikan sememangnya produk ini berkualiti menerusi maklum balas positif pengguna dan sekarang Amyera Beauty sudah mempunyai rangkaian ejen terbesar di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:29 AM