GAMBAR yang dimuat naik dalam Facebook tentera Mesir menunjukkan mayat didakwa militan berpakaian celoreng bergelimpangan di Sinai.
GAMBAR yang dimuat naik dalam Facebook tentera Mesir menunjukkan mayat didakwa militan berpakaian celoreng bergelimpangan di Sinai.
AFP

Ismailia: Mesir semalam melancarkan serangan udara terhadap kubu militan di Semenanjung Sinai, menyebabkan 23 orang terbunuh.

Serangan dilakukan sehari selepas pertempuran paling buruk dalam tempoh beberapa tahun meletus di wilayah itu.

Sumber tentera Mesir mendakwa, mereka yang terbunuh semalam adalah antara militan yang mengambil bahagian dalam pertempuran kelmarin.

Pihak berkuasa Mesir berkata, 100 militan dan 17 askar, termasuk empat orang mati dalam serangan Rabu lalu.

Bagaimanapun, pegawai perubatan dan keselamatan berkata, sekurang-kurangnya 70 orang, kebanyakannya askar, mati.

Alasan perbezaan jumlah kematian itu tidak jelas.

Militan yang berpusat di Sinai yang mendakwa bersekutu dengan Negara Islam (IS) meningkatkan serangan terhadap tentera dan polis Mesir sejak ketua tentera yang kini Presiden Mesir Abdel Fatah al-Sisi menggulingkan kerajaan Presiden Mohamed Mursi pada 2013.

Abdel Fatah semalam berikrar untuk meumpaskan pemberontakan di Sinai dengan melancarkan lebih banyak serangan.

Serangan semalam membabitkan jet pejuang F-16 yang menyasarkan kedudukan kumpulan berkenaan di bandar Sheikh Zuweid.

“Tentera tidak akan berhenti memerangi keganasan. Kami yakin akan memusnahkan mereka dan akan meneruskan usaha itu sehingga Sinai bersih daripada semua bentuk keganasan,” katanya di Kaherah, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 6:35 AM