Reuters

London: Perpindahan penjaga gol Republik Czech, Petr Cech dari Chelsea ke Arsenal mendapat sokongan pengurus kelab barat London itu, Jose Mourinho Cech adalah penjaga gol utama Chelsea sejak 10 tahun lalu tetapi dia kehilangan kedudukannya di tangan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois musim lalu dan sah menyertai Arsenal, Isnin lalu.

Mourinho mahu terus mengekalkan Cech, 33, di Chelsea musim depan tetapi disebabkan pemain itu sudah kehilangan tempat selaku pemain nombor satu dan berhasrat berpindah, beliau terpaksa menghormati keputusan itu.

Beliau turut berterima kasih kepada Cech yang turut membantu kejayaan kelab.

“Petr cukup setia bersama Chelsea sejak 11 tahun lalu dan dia membantu kelab memenangi pelbagai gelaran sepanjang tempoh itu,” kata Mourinho dalam laman web rasmi kelab.

“Saya selalu berkata bahawa saya mahu dia kekal bersama kami tapi saya faham Petr mahu bermain selaku penjaga gol utama setiap minggu.

“Ada kalanya anda perlu menghormati kehendak seseorang terutama mereka yang sudah banyak berbakti untuk kelab. Saya turut menyokong keputusan pemilik kelab untuk menghormati keputusan pemain,” kata Mourinho merujuk kepada Roman Abramovic.

“Amat jarang keputusan seperti ini dibuat dan atas alasan itu, saya bangga apabila kelab kami memilih keputusan ini. Tidak banyak kelab besar di dunia yang mampu membuat keputusan seperti ini.

“Kejayaan Petr di kelab ini akan tetap dikenang dan kami perlu berterima kasih atas apa yang sudah disumbangkannya.”

Cech, yang membuat kemunculan pertamanya di Chelsea ketika kelab itu dibimbing Mourinho pada Ogos 2004, pernah menang tiga gelaran liga di bawah jurulatih Portugis itu selain Piala FA dan Piala Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 7:46 AM