PESERTA pertandingan menunjukkan aksi.
SUKAN yang mencara mental dan fizikal.
ANTARA pengunjung yang datang.

Sukan papan selaju bukanlah sukan yang baru. Namun, tidak seperti sukan alternatif lain yang hanya bersifat sementara, ia masih diminati dan dilakukan peminatnya secara meluas di pelbagai peringkat umur.

Tarikh 21 Jun setiap tahun pula hari istimewa untuk peminat dan pemain sukan papan selaju. Mereka yang rata-ratanya anak muda akan berkumpul di seluruh dunia bagi meraikan sukan itu.

Di Malaysia tarikh itu disambut meriah oleh peminat dan pengamal sukan papan selaju. Acara utama yang diadakan untuk sukan ini adalah Go Skateboarding Day yang dibawakan jenama kasut kasual dan sukan yang sebati dengan sukan ini iaitu Vans.

Diadakan selama dua hari pada hujung minggu di sekitar stesen LRT Dang Wangi, Kuala Lumpur, acara itu dihadiri hampir 1,000 peminat dan penggiat sukan itu yang datang dari seluruh negara. Acara yang masuk tahun kelima tahun ini dibuat pada waktu malam.

Dalam acara ini, halangan untuk meluncur papan selaju dibina sendiri oleh tiga kumpulan pemain tempatan dari Bukit Kiara, Shah Alam dan kru Putrajaya Challenge Park (PCP).

Daripada konsep, rekaan memilih material hinggalah membina tanjakan untuk halangan, tiga kumpulan ini melakukannya dengan baik sekali dengan bantuan komuniti masing-masing.

Melalui halangan yang dibina untuk acara ini juga, tiga kumpulan ini mengambil bahagian dalam pertandingan membina halangan di peringkat antarabangsa dengan binaan mereka akan dihakimi oleh orang ramai menerusi Internet.

Acara papan selaju juga tidak akan lengkap tanpa pertandingan meluncur. Mengharungi tiga halangan yang dibina itu, pemain perlu mematuhi kriteria tahun ini iaitu ‘tricks’ . Mereka perlu menunjukkan kebolehan melakukan ‘tricks’ atau helah unik dalam meluncur.

Pengunjung, Khairul Azli Fatah, 18, pertama kali menyertai acara ini selepas mengetahuinya daripada rakan.

“Saya melihat sukan ini sebagai satu aktiviti yang sihat untuk belia seperti saya.

“Saya masih baru berjinak-jinak dalam sukan ini dan dengan adanya acara ini bolehlah saya mempelajari banyak taktik dan kenal lebih ramai orang dalam sukan ini,” katanya

Peniaga Mohd Ikhwan Mokthar, 27, datang dari Ipoh, Perak untuk turut bersama-sama memeriahkan acara sukan yang diminatinya itu.

“Saya pernah aktif semasa pada waktu sekolah dulu namun kini jarang bermain kerana bekerja namun saya tetap mencintai sukan ekstrem ini.

“Seronok melihat bakat baru dan muda bersemangat melibatkan diri dalam sukan papan selaju dalam acara ini,” katanya.

Bagi mengakhiri acara ini, pemain papan selaju meluncur di jalanan Kuala Lumpur di atas trek yang disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 9:59 AM