X
ALIFF kini bahagia dengan cinta baru.
ALIFF kini bahagia dengan cinta baru.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kanvas seni Aliff Aziz tidak pernah sepi kontroversi. Terbaru, tindakan penyanyi kelahiran Singapura itu memuat naik foto mesra bersama wanita bernama Bella Astilah di Instagram dikecam pelbagai pihak.

Aksi Aliff dan wanita berkenaan disifatkan keterlaluan dan tidak sepatutnya menjadi tatapan umum.

Aliff ketika ditemui baru-baru ini mengesahkan gadis yang juga kakak kepada penyanyi Didie Astillah kekasihnya dan menegaskan aksi mereka tidak seteruk yang diperkata.

“Bella adalah cinta baru saya. Kami kenal sejak tiga tahun lalu. Ditakdirkan kami bertemu lagi pada Anugerah Industri Muzik 2014 dan baru sekarang berani isytihar kami bercinta.

“Gambar yang dimuat naik itu memaparkan kemesraan kami tapi tidaklah keterlaluan. Kami hanya duduk rapat dan langsung tidak bercium. Jangan anggap bukan-bukan kerana keluarga sentiasa memantau pergerakan kami,” katanya.

Aliff mengakui kehadiran gadis berusia 21 tahun itu membawa sinar baru dalam hidupnya. Jika sebelum ini dia rimas dikaitkan dengan pelbagai isu, Bella seakan memberi semangat baru kepadanya.

“Keluarga merestui hubungan kami malah saya bersyukur apabila keluarga Bella tidak menghakimi kisah silam saya.

“Bella banyak bawa perubahan dalam hidup saya. Kegagalan dulu ada hikmah dan saya percaya soal jodoh pertemuan itu ketentuan Allah. Bella matang daripada usia sebenarnya.

“Bella juga pendengar yang baik dan mengajar saya banyak perkara. Selama ini sudah banyak perkara saya abai dan kehadirannya buat saya tekad untuk berubah menjadi insan lebih baik,” katanya.

Aliff bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dipertemukan dengan wanita yang baik. Justeru itu dia sama sekali tidak akan mempersia-siakan peluang kedua dalam hidupnya.

“Bukan senang jumpa keluarga yang boleh terima saya seadanya. Apatah lagi sebelum ini saya pernah dilabel pelbagai gelaran negatif.

“Saya pernah buat perkara kurang elok tetapi bukankah setiap manusia berhak mendapat peluang kedua?

“Pasti ada yang menyangka saya gunakan keluarga Bella untuk kepentingan peribadi. Cakaplah apa saja kerana Allah lebih tahu apa ada dalam hati ini. Saya mahu mengahwini Bella secepat mungkin. Insya-Allah kami akan bertunang pada Disember depan,” katanya.

Tumpu album baru

Beralih perkembangan karier, Aliff yang sebelum ini popular dengan lagu Sayang Sayang dan Jangan Ganggu Pacarku bakal muncul dengan album keempat berjudul Rebirth.

Album yang bermaksud kelahiran semula itu cukup bermakna apatah lagi ini peluang terakhir yang diberikan label Sony Music.

“Insya-Allah album ini akan berada di pasaran tahun ini dan kini dalam rangka promosi.

“Syukur Sony Music masih sudi memberikan saya peluang. Saya berjanji akan lebih serius selepas ini.

“Saya dikenali di Malaysia pada usia 16 tahun. Populariti menggelapkan mata saya hingga tersalah langkah. Saya banyak buat silap tetapi Sony tetap menerima saya sebagai ahli keluarga mereka.

“Mereka marah dan malu tetapi masih bersabar dengan kerenah saya. Sudah banyak kali saya menghampakan mereka dan kali ini nekad berubah,” katanya yang mempertaruhkan lagu Selayaknya Aku ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan sebagai single pertama.

Ketika menjayakan persembahan majlis ulang tahun UO Superstore ke-23 dan pertunjukan fesyen Fuyo Kids di Plaza Angsana, Johor Bharu, baru-baru ini, Aliff menarik nafas lega apabila kemunculannya disambut baik peminat terutama remaja.

Maklum balas positif itu secara tidak langsung melenyapkan segala kebimbangan yang bersarang di hatinya.

“Alhamdulillah, peminat masih menerima saya.

“Pada mulanya bimbang juga dibenci peminat namun apa yang saya fikir tidak berlaku.

“Apapun pandangan masyarakat saya akan terus menyanyi. Ini punca rezeki saya dan harap mereka nampak keikhlasan saya untuk berubah. Saya mahu tutup buku lama, buka buku baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 11:45 AM