FOTO ihsan abcnews
FOTO ihsan abcnews
Oleh Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Enam lelaki termasuk dua beradik dan remaja berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membuat pakatan mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini, April lalu.

Mereka terdiri daripada dua peniaga kedai baja, Mohd Anwar Azmi, 33, dan adiknya, Mohd Nurkamal, 30; penjaga stor, Mohd Hafifi Tarmizi, 25; peniaga air, Izwan Shameer Suzaimi, 25; pekerja kedai tayar, Muhammad Luqman Hakim Abdul Aziz, 22; serta remaja terbabit yang berasal dari Perak.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang di negara ini iaitu mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di No 2, Lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat dekat sini antara 7 petang, 24 April lalu dan 1 pagi keesokannya.

Hakim Kamardin Hashim kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 1:47 PM