WARNA-Warni Aidilfitri 2015 dengan pilihan menarik untuk pakaian dan ruang dalaman.

Pilihan fesyen dan gaya terbaik menjelang Aidilfitri antara yang menjadi perbualan hangat khususnya wanita.

Biar pun terdapat lambakan fabrik luar negara atau produk yang dijual pada harga yang murah di pasaran tempatan, produk kraf tempatan tetap menjadi pilihan orang ramai.

Batik canting, terap dan skrin, anyaman hasil rimba seperti buluh, rotan dan mengkuang serta produk logam antara yang menarik perhatian untuk dijadikan perhiasan pada hari lebaran.

Produk kraf tempatan mempunyai nilai eksklusif­nya yang tersendiri kerana kebanyakan rekaan hanya ada satu seumpamanya dan dibezakan dengan pelbagai warna.

Menyedari keunikan itu dan persiapan menyambut Aidilfitri, Kraftangan Malaysia menganjurkan Warna-Warni Aidilfitri (WWA) 2015.

Ia kini berlangsung hingga 13 Julai ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Menariknya ia membabitkan penyertaan seramai 230 usahawan kraf dari seluruh negara.

Aktiviti sebegini diadakan bertujuan menggalakkan penyertaan usahawan kraf dan perkhidmatan Aidilfitri dalam memasarkan produk kraf terus kepada pengguna serta pengunjung.

Selain itu ia memberi lebih peluang kepada orang ramai membuat persiapan Aidilfitri pada saat-saat akhir.

WWA 2015 mengetengahkan pelbagai aktiviti pelbagai seperti jualan kraf dan perkhidmatan Aidilfitri oleh 230 usahawan, pameran dan jualan produk kraf baru Aidilfitri, pameran produk kraf warisan, demonstrasi produk kraf (aksesori logam), interaktif kraf dan demonstrasi kuih dan juadah tradisi Aidilfitri.

Penganjuran WWA 2015 yang masuk kali ke-11 tahun ini, diharapkan dapat terus mengetengahkan Kompleks Kraf Kuala Lumpur sebagai Pusat Kraf Setempat.

Layari www.kraftangan.gov.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 5:04 AM