Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka membincangkan beberapa perkara menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Majlis yang berlangsung hari ini termasuk pencapaian Pengarah Teknikal, Morten Frost Hansen selepas berkhidmat selama empat bulan.

Menurut Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, selain mengadakan AGM mereka akan menilai pencapaian sepanjang tahun khususnya pentadbiran baru di bawah bekas pemain perseorangan Denmark itu.

“Kita juga akan melihat sejauh mana dan apa perancangan yang dibuat selama ini selepas wujudnya jurang pemisahan antara pihak pengurusan serta barisan kejurulatihan (selepas kehadiran Frost),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, segala pencapaian dan perkembangan terkini akan dimaklumkan kepada ahli majlis, serta dalam masa sama pelbagai input juga akan diberikan oleh semua ahli majlis untuk perancangan seterusnya.

“Saya rasa mereka akan memberi sokongan kepada Frost dalam melaksanakan pembaharuan seperti yang dirancang sebelum ini. Selain itu kita juga akan menilai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Frost selepas beberapa kejohanan besar seperti Piala Sudirman 2015 Dongguan dan Sukan SEA 2015 Singapura.

“Dalam masa yang sama kita juga akan membincangkan mengenai kemerosotan pasangan beregu lelaki utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang memberikan persembahan buruk di Sukan SEA baru-baru ini. Saya tidak boleh terima kemerosotan ini,” kata Norza.

Perkara lain yang dijangka bakal mendapat perhatian di mesyuarat berkenaan ialah pemain yang berjaya mencuri tumpuan sejak kebelakangan ini seperti gandingan beregu wanita, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho serta pemain muda, Goh Jin Wei.

Produk baru yang ditampilkan Frost ini sedikit sebanyak mengurangkan beban Datuk Lee Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 5:50 AM