Oleh Azlan Muhammad Zain

Gwangju (Korea Selatan): Dua pemanah compound cemerlang dalam pusingan penentuan ranking di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, hari ini.

Mohd Juwaidi Mazuki menamatkan saingan dengan mengumpul 696 mata untuk berada pada kedudukan keempat keseluruhan.

Turut cemerlang adalah Faten Nurfatehah Mat Salleh yang melakar kejutan di kedudukan kelima dengan 688 mata.

Kedudukan berkenaan memberikan laluan yang lebih mudah untuk mengharungi pusingan penyingkiran.

Keadaan angin yang tidak menentu dilihat memberikan kesukaran kepada semua peserta di Pusat Memanah Antarabangsa Gwangju.

Semua pemanah compound negara akan meneruskan saingan pusingan penyingkiran dalam acara individu, berpasukan dan campuran, esok.

Memanah antara yang menjadi sasaran negara untuk merealisasikan impian meraih emas sulung di Universiade.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 6:52 PM