AZAHAR memotong bahagian kambing yang sudah masak.

Menu kambing golek sememangnya tersenarai antara juadah eksklusif lantaran kesukaran untuk mendapatkannya selain mahal.

Ini kerana, menu ini lazimnya hanya boleh didapati menerusi tempahan seekor kambing golek siap masak atau hidangan istimewa di restoran terkenal atau sajian di hotel.

Namun, bagi penggemar juadah ini, Bazar Ramadan PKNS Shah Alam menawarkan menu kambing golek yang dipanggang setiap hari.

Peniaga kambing golek, Azahar Ismail, 51, berkata menu berkenaan dijual menerusi set kambing golek dan Nasi Arab yang dimakan bersama sos lada hitam dengan harga RM12 atau set daging kambing golek sahaja yang berharga RM10.

Katanya, disebabkan sambutan hangat, setiap hari dia memanggang seekor kambing di bazar berkenaan sebagai juadah istimewa.

“Menu ini kebiasaannya saya buat berdasarkan tempahan saja kerana pada hari biasa saya menjalankan perkhidmatan katering.

“Tapi, sempena bulan puasa ini, saya panggang seekor kambing setiap hari dan jual di bazar Ramadan kerana saya tahu juadah ini ada peminatnya selain ada yang tercari-carinya,” katanya.

Tidak lengkap juadah berbuka tanpa air, Bazar Ramadan PKNS Shah Alam juga menawarkan pelbagai pilihan minuman penghilang dahaga apabila seharian berpuasa.

Antara minuman ialah Jus Herba, iaitu minuman campuran buah-buahan terdiri daripada laici, longan, asam boi, lemon dan daun pudina yang memberikan rasa cukup unik.

Peniaga air minuman, Azuan Ahmad, 38 berkata, Jus Herba adalah resipinya sendiri dan sudah menjual air itu sejak lima tahun lalu di bazar berkenaan.

“Jus Herba memamg tak ada dijual di mana-mana kerana ia ciptaan saya sendiri.

“Sebagai pengusaha restoran makanan, saya memang gemar mencari idea untuk menghasilkan makanan atau minuman terbaik yang pastinya bukan saja sedap tapi cukup untuk menghilangkan dahaga dan menyejukkan badan.

Jus Herba ini dijual dengan harga RM2 bagi setiap pek cawan kecil dan RM3 bagi pek cawan besar dan bungkus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:02 AM