KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta berwaspada dengan kewujudan sampul prabayar PosLaju palsu setelah Pos Malaysia Berhad mengesan perbuatan menjual dan mengedarnya dalam pasaran.

Dalam kenyataannya hari ini, Pos Malaysia menyatakan pengguna produk palsu itu menghadapi risiko barangan mereka tidak diterima untuk dihantar selain berdepan tindakan undang-undang.

"Pos Malaysia memandang serius perkara ini dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan hanya membeli sampul prabayar PosLaju tulen di pejabat pos, pusat PosLaju dan ejen PosLaju yang sah," katanya.

Sebuah pasukan petugas khas dianggotai merinyu pos Pos Malaysia ditubuhkan untuk menyiasat kemungkinan wujud rangkaian penjualan dan pengedaran sampul prabayar PosLaju palsu di negara ini.

Hasil siasatan pasukan itu, sebanyak 1,300 sampul PosLaju palsu pelbagai saiz dirampas setakat ini.

Kesalahan menghasilkan, mengedar, menjual dan memproses produk pos palsu dan tiruan boleh dihukum mengikut Seksyen 65 Akta Perkhidmatan Pos 2012, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Kenyataan itu berkata, Pos Malaysia meminta Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membantunya mengenal pasti dan menahan pihak yang tidak bertanggungjawab itu serta menghentikan kegiatan haram itu, yang memberi kesan besar terhadap perniagaannya.

Sebagai sebahagian daripada komitmen Pos Malaysia untuk melindungi pelanggannya, syarikat itu akan memperkenalkan lebih banyak ciri keselamatan pada produknya, kata kenyataan itu.

Pos Malaysia meminta orang ramai melaporkan sebarang kegiatan haram menghasilkan, mengedar dan menjual produk palsu Pos Malaysia dengan menghubungi PosLine 1-300-300-300 atau emel kepada care@pos.com.my atau cawangannya yang terdekat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 8:02 PM