NAELOFAR Hijab ada pasukan khas kenal pasti pihak jual produk ciplak.
NAELOFAR Hijab ada pasukan khas kenal pasti pihak jual produk ciplak.
Oleh Wahi Aziz


Pelakon dan pengacara jelita, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa berdepan dugaan baru apabila bisnes tudung yang diusahakan, Naelofar Hijab diciplak pihak tidak bertanggungjwab.

Neelofa berkata, populariti jenama Naelofar Hijab selepas sembilan bulan berada di pasaran mengundang perhatian pihak terbabit untuk melakukan perbuatan itu.

Dia dan keluarga sudah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa peniaga yang menciplak dan menjual tudung itu bagi mengelakkan ia terus berleluasa.

Jelas hos rancangan MeleTop ini, ia bertujuan memastikan pembeli tidak terpedaya dengan produk tiruan yang menggunakan nama dan gambarnya tanpa kebenaran.

“Naelofar Hijab mempunyai pasukan khas bagi mengenal pasti pihak yang menjual produk ciplak selain menggunakan nama dan wajah saya bagi memperdaya orang ramai.

“Setakat ini kami sudah mengambil tindakan terhadap beberapa peniaga yang melakukan perbuatan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaru Naelofar Hijab sempena Aidilfitri, baru-baru ini.

Sambungnya, semua produk keluaran syarikatnya adalah 100 peratus buatan Malaysia, malah dia tidak pernah menghantar tudung ke Vietnam untuk dijahit.

Justeru itu, jika pengguna membeli tudung yang dihasilkan di luar negara maka ia produk tidak asli.

“Kebanyakan produk tiruan Naelofar Hijab dibuat di Vietnam manakala yang asli adalah sepenuhnya di sini.

“Kadang-kadang pelanggan pun keliru dan tertipu kerana membeli secara ‘online’ tetapi perbandingan kualiti dan jenis fabrik digunakan adalah berbeza,” katanya.

Bercerita lanjut koleksi raya jenama itu, Neelofa berkata, sebanyak 13 koleksi dihasilkan dengan 30 warna untuk pilihan pelanggan.

Malah, dia bersyukur kerana koleksi berkenaan habis dijual kepada stokis sejurus tempahan dibuka baru-baru ini.

“Tidak sampai 15 minit kami lancarkan koleksi terbaru ini secara online ia sudah pun habis dijual kepada stokis seluruh Malaysia.

“Pelanggan boleh membeli daripada stokis atau di laman web rasmi kami,” katanya sambil memaklumkan jenama itu sudah menghasilkan 29 rekaan tudung dan kini mempunyai 500 stokis di seluruh negara.

Beralih perkembangan terbaru, Neelofa akan menjayakan penggambaran telelefilem arahan Azma Aizal Yusoof selepas Aidilfitri.

“Ia akan jadi telefilem ketiga saya untuk tahun ini. Saya sangat teruja kerana ia sebuah karya yang menarik dan diarahkan Azma.

“Saya difahamkan penggambaran turut dilakukan di Itali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 12:09 PM