PELAJAR POLISAS melukis gambar kuda laut pada dinding kelas pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Semambu untuk menceriakan murid.
PELAJAR POLISAS melukis gambar kuda laut pada dinding kelas pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Semambu untuk menceriakan murid.
Oleh Rafi Mamat

Usaha menceriakan kelas pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Semambu, Pahang dilakukan 27 pelajar Diploma Seni Bina Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) yang terbabit dalam program melukis mural, baru-baru ini.

Program amal itu disertai pelajar semester tiga dengan tema hidupan laut yang ceria dan mengambil masa lebih lapan jam untuk menyiapkannya.

Penyelaras program, Norhayati Yusof berkata, program amal menelan belanja RM1,500 itu diharap dapat memberikan suasana belajar yang ceria dan menarik untuk murid pendidikan khas sekolah berkenaan.

Menurutnya, kemahiran pelajar semester tiga jurusan berkenaan melancarkan lagi aktiviti melukis, selain pengalaman luas sebelum ini digunakan bagi memberi kelainan kepada hasil lukisan itu.

“Kerjasama diberikan pihak sekolah melancarkan lagi program yang pertama kali diadakan pada tahun ini. Aktiviti seumpama ini akan diteruskan pada masa depan sekiranya mendapat permintaan.

“Mereka yang berminat mendapatkan khidmat pelajar ini boleh menghubungi POLISAS. Kita sedia memberikan perkhidmatan diperlukan demi kebaikan bersama,” katanya.

Norhayati yang juga pensyarah seni bina berkata, lukisan yang ada pada dinding kelas pendidikan khas sekolah itu diharap mampu mencetuskan lebih keceriaan kepada murid sepanjang berada di sekolah.

Bagi Nur Syahirah Dzulkifli, 22, yang kali pertama menyertai program mural itu, aktiviti berkenaan memberikan pengalaman menarik, selain kerjasama dalam kumpulan melancarkan lagi setiap tugas.

“Diharap lukisan pelbagai hidupan laut yang dihasilkan ini akan dapat memberikan lebih keceriaan dan ketenangan kepada kanak-kanak istimewa.

“Saya bangga dapat menyertai khidmat bakti ini dan akan terus menyertai program seperti ini pada masa akan datang sebagai usaha memberikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 1:21 PM