Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan tuduhan dilemparkan terhadap bapanya Tun Mahathir Mohamed terbabit dalam laporan akhbar Wall Street Journal (WSJ) adalah tidak benar dan adil.

Menurutnya, beliau menafikan bapanya menjadi dalang dalam pendedahan itu walaupun sebelum ini bekas pemimpin negara itu pernah mengkritik berkenaan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya tidak pasti dan tidak boleh sahkan mengenai sebahagian daripada konspirasi itu, tapi yakin laporan WSJ ini tidak membabitkan Tun Mahathir. Jadi saya agak hairan mengapa kenyataan itu dibuat Perdana Menteri.

"Mungkin beliau ada maklumat lain tetapi saya tidak percaya itu yang berlaku, " katanya di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mukhriz berkata, beliau tidak pasti sama ada saman adalah tindakan terbaik yang harus diambil terhadap WSJ, namun isu ini harus diatasi dengan sebaik mungkin.

Sebelum ini WSJ mendakwa kononnya kira-kira RM2.6 bilion dana 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi Najib, namun Perdana Menteri itu menafikan tuduhan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 4:55 PM