PENERBIT drama, A.Aida. FOTO Munira Abdul Ghani
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penerbit A Aida, 44, kecewa dengan sikap pengarah drama Shuhaimi Lua yang didakwa tidak menghabiskan penggambaran membabitkan 100 babak bagi drama bersiri Puteri Gunung Ledang (Aku Telah Jatuh Cinta) terbitan A Aida Production.

Menurut Aida, tindakan Shuhaimi itu mencacatkan jalan cerita drama berkenaan kerana babak belum disiapkan itu ialah babak penting.

"Ini satu kesilapan besar. Sebagai pengarah (Shuhaimi) dia perlu ambil tahu dan sedar setiap babak yang dirakam. Ini tidak, apabila saya maklumkan hal berkenaan, dia cakap tak tahu.

"Malah, dia boleh salahkan pihak lain atas kelalaiannya itu. Ini ialah kejadian pertama sepanjang pembabitan saya sebagai penerbit," katanya.

Aida berkata, dia terpaksa mencari pengarah lain menggantikan Shuhaimi bagi menghabiskan baki penggambaran drama berkenaan.

“Saya juga kerugian lebih RM30,000 kerana terpaksa menjalani penggambaran semula. Mujur pelakon-pelakon memberi kerjasama baik untuk kembali semula ke lokasi,” katanya.

Sementara itu, Shuhaimi ketika dihubungi terkejut dengan kenyataan Aida dan mendakwa penerbit itu sudah tahu mengenai 100 babak yang belum dirakam itu.

"Dia tidak boleh salahkan saya sepenuhnya kerana masing-masing ada tugas sendiri. Dalam kes ini, penolong pengarah sepatutnya memaklumkan saya kerana semua jadual ada padanya.

"Malah, penolong pengarah dan Aida juga tahu berkenaan 100 babak belum dirakam itu. Apabila dia mengeluarkan kenyataan seperti ini, saya sangat terkejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 9:53 PM