Kuala Lumpur: UPS SCS (Malaysia) Sdn Bhd (UPS Malaysia) optimis segmen perniagaannya terus berkembang tahun ini disokong oleh permintaan tinggi bagi eksport dan import komponen elektronik.

Pengarah Urusannya, Lim Tze Hsien berkata, perniagaan elektronik kini semakin kompleks dengan komponen dibuat di pasaran lain, sekali gus memerlukan penghantaran ke seluruh dunia.

Katanya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini juga dilihat memerlukan rantaian bekalan yang efektif terutama bagi penghantaran ke luar negara.

“Malaysia tidak mampu mengambil tenaga kerja murah dalam pasaran, justeru perlu mendapatkan sumber dari kawasan yang mempunyai kos inventori dan aliran tunai lebih baik terutamanya bagi PKS.

“Di sini UPS memainkan peranan dengan menawarkan penyelesaian kepada pelanggan bagi memastikan pakej diserah dengan selamat dan mengikut jadual, tanpa pembaziran masa dan kos,” katanya di taklimat media di sini.

Hadir sama, Presiden UPS Rantau Asia Pasifik bagi Daerah Selatan, Jim O’Gara dan Pengurus Pemasarannya, Jennifer Wong.

Lim berkata, menerusi penggunaan teknologi terkini dalam sistem penghantaran UPS seperti ‘UPS Proactive Response’, penghantaran dipantau dan dikesan manakala pelanggan dimaklumkan mengenai kemajuan proses penghantaran, sekali gus mengelakkan kerugian akibat kehilangan produk.

Jim berkata, bagi memenuhi permintaan terhadap penghantaran segera, UPS memperkenalkan ‘Worldwide Express Freight’ iaitu penyelesaian terbaru yang menghantar barangan ke luar negara dalam tempoh lebih singkat.

“Perkhidmatan ekspress ini membolehkan penyerahan dibuat pada hari sama dalam negara dan hanya dua atau tiga hari bekerja ke Eropah dan Amerika,” katanya.

Beliau berkata, UPS memperkenalkan sistem ‘Telematics’ di Malaysia yang membolehkan kenderaan penghantaran dipantau bagi menentukan lokasi serta tempoh masa yang diambil untuk sampai kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 6:46 AM