Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Sudikah Nor Shahrul Idlan Talaha atau Mat Yo menerima pelawaan menyertai pasukan kelahirannya, Terengganu musim depan?

Itu yang menjadi teka-teki selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tampil membuat tawaran kepada penyerang kebangsaan dan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) itu.

Setiausaha Agung PBSNT Arpin Draman berkata, pihaknya sudah menghubungi penyerang kelahiran Besut itu dan membuat tawaran kepadanya.

Menurutnya, penyerang berusia 28 tahun itu belum memberi kata putus sebaliknya meminta sedikit masa sebelum memberi keputusan muktamad.

"Kita sudah membuat tawaran kepada Mat Yo dan dia minta supaya memberi sedikit masa kerana baru selesai mengharungi Piala Malaysia, Sabtu lalu.

"Selain Terengganu, kita difahamkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga berminat mendapatkannya," katanya.

Musim ini, bekas penyerang Kelantan itu kerap memanaskan bangku simpanan skuad bimbingan Bojan Hodak dan dimasukkan sebagai pemain gantian serta gagal menjaringkan penalti.

Kegagalan itu menyaksikan Pahang muncul juara Piala Malaysia dengan agregat 5-3 selepas terikat 2-2.

Mengulas lanjut, Arpin berkata, pihaknya bersetuju membayar pampasan membawa penyerang PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh ke Kuala Terengganu musim depan.

Menurutnya, rakan sepasukan Patrick yang juga kapten PKNS, Helmi Rameli sudah menandatangani kontrak bersama Penyu.

"Kita juga berusaha membawa seorang lagi pemain Harimau Muda A," katanya.

Terengganu juga bakal diperkuat pemain import tengah kelab Arema Cronous, Indonesia, Gustavo Fabian Lopez.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:02 AM