TAMPIL persembahan indah dan memukau pada showcase di Malaysia.
TAMPIL persembahan indah dan memukau pada showcase di Malaysia.
Oleh Georgie Joseph


Berbekalkan gitar akustik dan keyboard, pesona mereka di pentas sudah terserlah. Ini ditambah dengan alunan unik suara masing-masing selain kekuatan harmoni nyanyian mereka.

Demikian boleh disimpulkan mengenai persembahan kumpulan duo Amerika Syarikat, Us The Duo di Auditorium Bentley, Wisma Bentley, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sebati dengan muzik pop folk, kumpulan menggabungkan pasangan suami isteri, Michael dan Carissa Alvarado ini nyata pemuzik dan penyanyi mengagumkan.

Selesa dan cukup profesional menakluk pentas, bukan saja unik, malah kemampuan vokal mereka tidak mengecewakan.

Bagaimanapun, duo yang meledak menerusi media sosial Vine sejak tahun lalu itu masih beranggapan vokal mereka belum mencapai tahap hebat.

Bagi mereka, ia perlu diperbaiki lagi, malah berazam untuk memasuki kelas vokal pula selepas ini.

“Vokal adalah perkara utama kami mahu perbaiki sekarang. Memang ada perancangan menyertai kelas vokal kerana kami benar-benar mahu belajar bagaimana mahu menjaga suara, teknik dan sebagainya.

“Ini kerana suara boleh terjejas apabila melakukan persembahan ‘live’ dalam tempoh panjang. Selain itu, kami bimbang jika berlaku kerosakan suara seperti mana pernah berlaku kepada Sam Smith serta Meghan Trainor,” kata Carissa.

Tidak pernah berasa diri mereka hebat, Michael me–ngakui bahawa ada masanya dia dan Carissa berasa sedikit goyah apabila ada pemuzik lebih hebat berbanding mereka.

“Benar dan tidak dinafikan kadang-kadang timbul juga perasaan itu. Contohnya baru-baru ini ketika menyertai siri konsert jelajah penyanyi Tori Kelly sebagai artis pembuka tirai, banyak benda membuka mata kami.

“Salah satunya ialah kehebatan vokal penyanyi itu. Vokal Tori boleh mencapai pelbagai aras dan ‘pitch’ serta tiada cacat cela.

“Ia membuatkan kami terfikir bagaimana untuk menandingi kehebatan vokal seperti itu? Walaupun memasuki kelas vokal selama 10 tahun pun belum tentu boleh mengalahkan kehebatannya. Kami tertanya-tanya sesama sendiri adakah perlu menarik diri?,” katanya.

Mengiakan kenyataan suaminya itu, menurut Carissa, sememangnya perkara itu akan membuatkan mereka berasa kurang bersemangat tetapi dalam masa sama menyedari ia satu cabaran.

“Kami jadikannya sebagai satu cabaran. Kalau tidak mencabar diri, bagaimana mahu menjadi lebih baik, bukan? Kami sebenarnya bersyukur mendapat pengalaman sebegitu dan memperoleh lebih inspirasi,” katanya.

Mahu cuba muzik EDM

Menjadi artis pertama dari laman sosial Vine dilamar label nombor satu Amerika Syarikat iaitu Republic Records, sekali gus Us The Duo perlu akur mereka kini sebahagian daripada industri muzik arus perdana.

Bagaimanapun, tidak ada isu mereka lari daripada elemen mencipta lagu sendiri cuma mereka mahu menukar angin.

Memfokuskan genre pop untuk album akan datang, mereka juga teruja mahu memasukkan Electronic Dance Music (EDM) dalam lagu mereka selepas ini.

“Selepas ini kami akan memilih konsep pop berbanding pop folk yang kami bawa sekarang. Kami sa–ngat tertarik dengan lagu berentak rancak dan pasti akan memasukkan elemen EDM.

“Kini kami dalam proses menghasilkan lagu baru yang turut diadun dengan EDM. Ternyata, suasana di studio rakaman sekarang lebih seronok dan berbeza. Yang pasti, muzik baru kami hasilkan sekarang ini jauh lebih mengujakan,” kata Michael.

Begitu komited dan sangat menjaga peminat di laman sosial, Carissa tidak menafikan sentiasa berkomunikasi dengan peminat mereka amat penting.

“Boleh dikatakan, setiap saat sekarang ini kami tidak pernah lekang memegang telefon masing-masing. Kami mahu sentiasa dekat dengan peminat kerana kalau bukan mereka, tidak mungkin kami ada di sini sekarang.

“Bagi saya, itu adalah antara tugasan sangat penting sebagai artis dan kami sendiri mahu terus menyalurkan rasa cinta terhadap mereka semua. Bukan susah pun, contohnya di Twitter hanya mengambil lima saat untuk membalas tweet mereka,” katanya.

Tampil persembahan indah

Persembahan Us The Duo di pentas barangkali sudah boleh diteka apalagi mereka bukan pemuzik yang perlukan penari latar mahupun set gah.

Bagaimanapun, dari segi impak persembahan, Michael dan Carissa jelas dikurniakan kelebihan untuk memukau penonton.

Nyanyian, kemanisan, lagak bersahaja dan kasih sayang tercipta antara mereka di pentas memang benar-benar indah. Sebab itu mereka dikatakan contoh terbaik pasangan paling dicemburui di dunia.

Menyanyikan hanya enam lagu termasuk The Vine Compilation, No Matter Where You Are, Missing You Like Crazy, Make You Mine, I’m Going To Lose You dan Sway, sayang–nya persembahan mereka terlalu pendek.

Auditorium Bentley pula dibanjiri penonton hingga ke luar dewan dan ia jelas menunjukkan penonton mahukan lebih lagi.

Ditanya mengenai perancangan konsert yang lebih besar di sini, menurut Carissa, dia memang sudah tidak sabar untuk mengadakan sebuah konsert sebenar.

Pertama kali ke sini, dia mengakui sudah jatuh cinta dengan Malaysia.

“Ya, itu yang kami benar-benar nantikan dan harapnya dalam tempoh setahun lagi akan kembali ke sini. Kami ada membuat perbincangan juga dengan label di sini dan meminta mereka tunaikan ia secepat mungkin.

“Terus terang kami sangat seronok dengan sambutan di sini. Semuanya mengalu-alukan kami, orang-orangnya baik belaka dan paling penting, saya jatuh cinta dengan makanan di sini,” katanya.

Album terbaru Us The Duo berjudul No Matter Where You Are yang memuatkan lagu seperti No Matter Where You Are, Smile & Keep Your Head Up, Make You Mine, Final Bow, Come Back, Don’t Lay Your Head, Falling In Love, Heartbreak, Dear Mom & Dad, dan ‘Til the Morning Comes sudah pun berada di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 10:54 AM