ANTARA babak menarik dalam Harbinger Down.
TIDAK guna teknik CGI walaupun ia filem genre sains fiksyen.
Susunan Oleh Michelle Gun


Ketika kebanyakan produksi filem menggunakan kesan khas imej janaan komputer (CGI) untuk menghasilkan karya lebih berkualiti, Amalgamated Dinamics Inc (ADI) memilih cara tradisi untuk filem Harbinger Down yang mengisahkan mengenai makhluk asing.

Penggunaan kaedah itu berikutan ADI yang menyediakan kepakaran animatronik dan solekan prostetik mendapat sokongan daripada peminat selepas hasil kerja asal produksi terbabit dalam filem The Thing pada 2011 digantikan dengan CGI.

Filem Harbinger Down mengisahkan haiwan kecil yang dimutasikan menyerang manusia selepas ditemui beku dalam ais oleh sekumpulan penyelidik.

Karya sains fiksyen ini ditulis serta diarahkan Alec Gillis dan menampilkan barisan pelakon, Lance Henriksen, Camille Balsamo, Matt Winston dan Reid Collums.

Ia mula ditayangkan di negara ini mulai esok.

Menceritakan pembikinan Harbinger Down, Gillis menjelaskan impian menghasilkan filem daripada idea sendiri tercapai selepas klip video di sebalik tabir The Thing yang dimuat naik di YouTube menerima komen positif daripada penonton di seluruh dunia.

“Berikutan sokongan hangat penonton, saya dan penerbit Tom Woodruff kemudian berkongsi hasil kerja kreatif kami di YouTube,” katanya.

Menurut Gillis, kempen mengumpul dana bagi menghasilkan filem Harbinger Down dilakukan dan berjaya mengutip RM1.45 juta.

“Peminat merasakan makhluk yang dihasilkan menggunakan CGI kelihatan kurang meyakinkan.

“Makhluk dalam filem ini bukan dihasilkam dengan CGI dan Harbinger Down adalah projek cereka sains paling tinggi dalam sejarah yang dibiayai Kickstarter,” katanya.

Gillis berkata, Harbinger Down mempunyai nilai pengeluaran jauh di luar jangkauan kebanyakan filem bajet sederhana.

“Set tanah perkuburan kapal terbang di Mojave digunakan dalam penggambaran. Saya turut bekerjasama dengan pembina set penggambaran untuk menghasilkan persekitaran dalaman bagi kapal nelayan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai penggambaran filem Harbinger Down, Gillis berkata, beberapa ilusi mudah dan berkesan dicipta menggunakan kamera.

“Bagi menghasilkan wap nafas di suasana sejuk, pelakon menghisap rokok elektronik yang mengandungi minyak sayuran dan teknik ini mewujudkan suasana seperti di Lautan Artik.

“Malah, skrin hijau turut disediakan dan set penggambaran seolah-olah berada di lokasi sebenar membuatkan pelakon dapat menjiwai watak mereka, seterusnya menghasilkan lakonan yang lebih baik,” katanya.

Pengarah itu berkata, miniatur memainkan peranan penting dan produksi menyediakan kapal dalam pelbagai saiz, laut, gunung ais yang runtuh dan makhluk kecil.

“Produksi di Hollywood mungkin lebih menggemari meng­gunakan CGI, tetapi pasukan Harbinger Down memilih sentuhan PFX yang realistik.

“Filem itu menggunakan pengubahan digital, suar kanta, salji dan pergerakan tambahan pascakamera. Gred warna menambahkan patina akhir untuk imej, menjadikan persekitaran semakin suram sambil cerita itu berkembang,” katanya.

Katanya, dia berdepan cabaran untuk mengubah sebuah gudang kepada lokasi kapal memancing ketam yang terperangkap dalan ribut di Laut Bering.

Skrip filem itu diilhamkan Gilis ketika berada di Perpustakaan Awam Calabasas manakala penggambaran filem itu berlangsung di Chatsworth, California.

“Falsafah saya ialah untuk memberi kesan seram, jika anda mahu ia kelihatan benar, maka ia perlu nyata. CGI ha­nya boleh digunakan untuk meningkatkan kesan praktikal ,” katanya.

Pernah menghasilkan filem seram hebat Tremors dan Aliens and Predator, Gillis berkata, penulis dan pengarah tidak boleh bergantung kepada CGI sepenuhnya untuk memberikan keterujaan dan keseronokan kepada penonton.

“Harbinger Down bertujuan untuk menarik penonton menghayati suasana yang realistik. Kematian setiap watak di dalam filem ini akan membuat penonton merasakan sesuatu.

“Kami bernasib baik kerana semua pelakon berbakat dan memiliki watak unik selain mereka menyokong pembikinan filem ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 11:10 AM