MUSIM perayaan peluang untuk erat silaturahim.
MUSIM perayaan peluang untuk erat silaturahim.
HORMATI orang lebih tua.
HORMATI orang lebih tua.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Menjelang lebaran kanak-kanak adalah insan paling gembira. Kegembiraan ini semakin ketara tatkala ibu dan ayah membelikan padanan baru persalinan yang akan digayakan pada hari raya pertama. Apa yang terlintas di fikiran mereka raya mempunyai kaitan dengan baju baru, duit raya dan balik kampung.

Balik kampung menjadi fenomena khususnya apabila tiba musim perayaan selain cuti sekolah yang panjang. Ia dianggap budaya orang Malaysia khususnya Melayu yang berkait rapat dengan emosi dan kegembiraan. Ini kerana budaya balik kampung menyambut Aidilfitri untuk bertemu keluarga dan saudara-mara yang jarang berjumpa mencetuskan nostalgia tersendiri.

Fenomena balik kampung ini juga dianggap sebagai ‘emosi’ orang Melayu. Ia mempunyai hubungan perasaan dan jiwa yang bersulam dalam tradisi masyarakat Melayu.

Walaupun ada segelintir yang tidak mempunyai kampung lantaran ibu bapa menetap di bandar, namun budaya ‘balik kampung’ tetap diteruskan dengan mengunjungi rumah ibu bapa pada hari raya pertama. Bagi mereka rumah yang diduduki ibu bapa dan menjadi tempat berkumpul adik-beradik adalah kampung mereka.

Namun ada kala apabila anak sudah mening­kat remaja ramai ibu bapa menghadapi kesukaran untuk membawa mereka pulang ke kampung. Ada yang memberi pelbagai alasan tidak betah tinggal di kampung, mandi air telaga, panas, rumah terlalu sempit atau tidak mengenali saudara-mara lain.

Perunding Keibubapaan Zaid Mohamad berkata, budaya balik kampung mempunyai banyak kebaikannya dan seharusnya dipertahankan. Ini kerana ia satu-satunya tradisi unik yang tiada pada masyarakat daripada bangsa lain. Percaya atau tidak seluruh dunia melihat dan menghargai keunikan ini.

“Budaya balik kampung mempunyai banyak faedahnya. Ia mengajar anak mengenai akar dan budaya. Selain itu, ia dapat mengeratkan kembali silaturahim, memohon maaf atas kesilapan lalu sekali gus membina hubungan sesama keluarga,” katanya.

Bagi anak-anak yang berasa janggal untuk pulang ke kampung, ibu bapa perlu tegas melayani kerenah mereka. Hubungan yang terjalin sebenarnya bukan diperoleh dalam waktu singkat sebaliknya perlu dipupuk ketika anak-anak masih kecil. Caranya dengan memperkenalkan ahli keluarga dan saudara-mara terdekat.

Kemudian jika ada cuti panjang ambil peluang untuk mengadakan perjumpaan mini keluarga dengan program jamuan dan lawatan supaya mereka tidak berasa janggal apabila bertemu setahun sekali saja.

“Paling penting ibu bapa sendiri perlu terbabit secara aktif untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Jadikan cabaran untuk keluarga anda mengenali sekurang-kurangnya tiga ahli keluarga lain pada musim perayaan ini. Sesuatu yang sudah dimulakan dulu akan menjadi kebiasaan oleh anak-anak. Keadaan ini berbeza bagi ibu bapa yang jarang membawa anak-anak pulang ke kampung,” katanya.

Mengenai ahli keluarga yang tidak mahu menziarahi rumah saudara-mara kerana ingin menonton rancangan televisyen kegemaran ia sebenarnya hanya alasan akibat kurang mementingkan keluarga di kampung. Malah, ada yang memandang rendah kepada mereka yang kurang berada.

Sebenarnya ini timbul kerana masing-masing tidak mengenali hati budi sesama sendiri hingga timbul perasaan tidak selesa. Oleh itu, ibu bapa perlu memperkenalkan ahli keluarga sebelum dan semasa lawatan. Ceritakan latar belakang mereka. Ini akan membuka minat dan minda anak-anak.

Dengan kehadiran pelbagai gajet seperti telefon genggam, tablet dan iPad menyebabkan fokus hari raya iaitu untuk mengeratkan hubungan dengan saudara-mara, jiran tetang­ga menjadi sedikit tergang­gu disebabkan anak leka dengan gajet yang dibawa. Ada pula sehingga langsung tidak mahu bertegur sapa disebabkan asyik berbual menerusi alam maya.

Dalam hal ini semua pihak perlu memainkan peranan. Jika boleh ‘haramkan’ sebentar gajet ketika menziarah. Galakkan anak melayan orang yang lebih tua dan bertanya soalan kepada mereka. Perkenalkan setiap tetamu yang ada di situ kepada anak supaya mereka tahu hubungannya.

Ibu bapa perlu menjadi moderator atau orang tengah. Datuk nenek pula jangan suka berleter atau bertanyakan soalan kontroversi seperti bila mahu kahwin kerana ini akan merimaskan generasi muda untuk meneruskan komunikasi itu.

“Walau apa juga alasan diberikan budaya ziarah-menziarahi perlu diteruskan dengan membawa anak bersama. Ibu bapa perlu tegas dalam meneruskan tradisi ini. Bagi yang enggan mengikut, ibu bapa perlu mengerah atau memaksa anak. Tunjukkan contoh yang baik semasa lawatan iaitu dengan beramah mesra, bukan bersendiri. Perkenalkan seluruh ahli keluarga agar timbul kemesraan,” katanya.

Ketika menziarah, ajar anak kecil supaya sentiasa berbudi bahasa seperti bersalaman dengan mencium tangan, minta laluan sambil tunduk sedikit dan memberi salam kepada orang tua.

Bagi anak kecil yang gemar berlari, melompat dan memanjat ketika berkunjung ke rumah saudara-mara sebenarnya ibu bapa boleh menasihatkan dengan memberikan contoh bagaimana membina akhlak yang baik.

Jika terpaksa buat perjanjian dengan anak supaya berhemah. Berikan anugerah jika mereka berkelakuan baik. Sebaliknya jika mereka buat hal, janjikan juga hukuman yang sesuai. Apa yang penting ialah kesedaran dan kemahuan ibu bapa untuk mengajar anak supaya tertib di hadapan tetamu.

Walaupun ada ibu bapa mengambil peluang pulang ke kampung hanya pada musim perayaan tetapi sebaiknya ziarahi ibu bapa apabila ada waktu terluang atau ‘mewajibkan’ untuk bertemu mereka sekerap mungkin.

Jika tidak mampu melakukannya sebulan sekali boleh dijadikan amalan dua atau tiga bulan sekali. Paling penting pastikan anak-anak sentiasa berhubung dengan datuk nenek melalui telefon supaya timbul perasaan hormat dan kasih sayang.

Walaupun budaya balik kampung masih relevan pada masa kini namun ada segelintir orang Melayu yang tidak mahu beraya

di kampung sebaliknya mengambil kesempatan untuk bercuti di hotel dan melancong di luar negara.

Walaupun tindakan itu adalah hak peribadi, tetapi alangkah baiknya jika pada hari raya pertama mereka pulang ke kampung melawat saudara yang sudah tua sesuai dengan ajaran Islam yang menganjurkan penganutnya ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan pada hari raya dan amalan baik ini mempunyai ganjaran pahala. Apabila sudah mengunjungi ibu bapa dan saudara-mara pada hari raya

kedua atau seterusnya baru mereka melakukan aktiviti melancong ke luar negara.

Bagi mereka yang sudah tiada ibu bapa, menziarahi pusara adalah satu bentuk balik kampung yang berlaku secara emosi dan abstrak. Pertemuan dengan ibu bapa itu tetap berlaku dalam bentuk yang bukan fizikal, tetapi spiritual.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 12:11 PM