Alysia dan Louis bersama anak sulung mereka.
Alysia dan Louis bersama anak sulung mereka.
BIARPUN kandungan sudah berusia 34 minggu, Alysia tetap berlari kerana ia perkara yang menggembirakannya.
BIARPUN kandungan sudah berusia 34 minggu, Alysia tetap berlari kerana ia perkara yang menggembirakannya.

Biasanya, wanita yang disahkan mengandung tidak gemar untuk bersenam kerana masing-masing bimbang dengan keadaan anak dalam kandungan dan jika adapun yang memilih untuk terus kekal aktif, jumlahnya hanya segelintir dan pastinya wujud rasa pelik dan me­ragukan apabila melihat seorang wanita yang sedang mengandung, me­nyertai acara larian 800m.

Ia satu jarak yang boleh dikategorikan jauh ter­utama bagi mereka yang mengandung dan pasti­nya tidak dapat dicapai dek akal seorang wanita yang sedang mengandung lapan bulan!

Bagaimanapun, bagi juara kebangsaan Amerika Syarikat sebanyak lima kali, Alysia Montano, berlari ketika hamil bukan satu perkara pelik bagi dirinya dan dia mampu menamat­kan larian acara 800m de­ngan catatan dua minit ketika usia kandungannya 34 minggu.

Biarpun atlet Olimpik itu sekadar menamatkan sa­ingan di kedudukan terakhir ketika di Stadium Hornet di Sacramento, California, dia tetap gembira apabila dapat menamatkan larian.

Alysia, 28, yang menerima tepukan gemuruh daripada penonton selepas menamatkan perlumbaan de­ngan catatan 2 minit, 32.13 saat berkata: “Saya berlari sepanjang saya me­ngandung dan saya tetap berasa selesa dalam keseluruhan proses.

Dia menamat­kan sa­ingan 35 saat lebih perlahan daripada catatan peribadi terbaik iaitu 1:57.34s yang dilakukannya ketika beraksi di Monaco pada 2010 tetapi biarpun begitu, catatan­nya itu masih tidak mampu dilakukan oleh ramai atlet lain.

Dikenali sebagai ‘gadis bunga’ kerana identitinya yang agak unik, Alysia pasti menyelitkan setidak-tidaknya sekuntum bunga di rambutnya setiap kali berlari.

Alysia berkata, ketakutan terbesarnya ketika ini ialah untuk beraksi di Kejohanan USATF kerana dia tidak rela lariannya dipintas atlet lain nanti.

Alysia dijangka menimang anak pertama hasil perkahwinan dengan Louis pada 2011.

Ramai yang mempersoalkan keinginan Alysia untuk terus berlari biarpun sedang mengandung namun sebelum sebarang keputusan dilakukan dia terlebih dulu mendapat­kan pandangan doktor.

Katanya, apa yang dilakukannya itu adalah dalam pengetahuan serta kebenaran doktor dan berharap pembabitannya itu dapat menamat­kan salah faham berhubung senaman ketika hamil.

“Tindakan saya dapat membuang perasaan takut orang ramai di luar sana yang memikirkan bolehkah wanita mengandung berlari,” kata Alysia.

Alysia berlatih dan me­nyertai pertandingan sejak dia masih kanak-kanak dan cukup gembira dapat terus berlari kerana tiada sebab me­ngapa dia harus berhenti.

“Apa yang saya tahu bersenam ketika hamil sebenarnya jauh lebih baik untuk ibu dan juga anak dalam kandungan. Saya melakukan semua perkara yang biasa saya lakukan biarpun hamil. Ia adalah perkara biasa pada saya tahun ini,” katanya.

Namun, Alysia yang memiliki jiwa kental itu berkata, dia sememangnya sudah menyedari bahawa dia tidak berpeluang untuk menang atau memecahkan catatan terbaik peribadinya ketika berlumba namun perkara itu sebenarnya bukan fokus utamanya. Dia mahu me­ngambil bahagian kerana dia gembira dapat berlari.

Di blog peribadinya, dia menulis: “Adalah penting untuk orang ramai memikirkan apa yang mereka mampu lakukan, ingatlah penyertaan dalam sukan akan mendapat perhatian.

“Berlumba adalah satu perkara yang menggembirakan bagi saya kerana saya mampu untuk berfikir seperti mana yang kanak-kanak lakukan. Mereka sangat jujur. Mereka mahu menang tetapi mereka juga gembira dapat berlari.

“Apabila usia meningkat, mudah untuk memikirkan perkara yang tidak penting dan kemudian tunduk kepada tekanan. Saya tidak gemar meletakkan diri dalam ke­adaan itu dan terlalu banyak bercakap mengenai sasaran.”

Pakar mengatakan adalah selamat wanita untuk terus kekal cergas seperti Alysia yang bersenam ketika hamil walaupun pada kadar lebih rendah daripada sebelumnya.

Langkah larian Alysia dalam perlumbaan ketika hamil pastinya lebih santai berbanding ketika beraksi di temasya Sukan Olimpik 2012 di London. Dia menamatkan larian di tempat kelima dengan catatan di bawah dua minit.

Dia berazam untuk kembali berlatih seperti biasa apabila sudah boleh berbuat demikian selepas bersalin nanti dan dia menegaskan adalah menjadi impiannya untuk membuka studio kecergasan bagi keluarga yang berkerjaya.

Katanya: “Saya mahu mengajar orang ramai me­ngenai senaman dan kecergasan dan bagaimana ia mampu untuk menjadi satu perkara yang menggembirakan. Saya mahu membantu ibu bapa mendidik anak-anak mereka mengenainya kerana dari ibu bapa segala-galanya bermula.

Dia sebenarnya bukanlah wanita pertama yang

mengenakan kasut sukan ketika hamil dan pastinya tidak akan menjadi yang terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 12:11 PM