London: Arsene Wenger percaya Arsenal akhirnya memperlihatkan sentuhan pembunuh yang diperlukan untuk berjaya di Liga Juara-Juara.

Skuad kendalian Wenger berharap menamatkan saingan Kumpulan D di kedudukan teratas apabila melayani kunjugan Anderlecht, awal pagi esok dan bos Gunners sedar ia bakal menjadi malam yang memerlukan sentuhan pembunuh.

Arsenal kini di kedudukan kedua, ketinggalan tiga mata kepada pendahulu kumpulan Borussia Dortmund dan kejayaan mengatasi Anderlecht, selain kemenangan kelab Jerman berkenaan ke atas Galatasaray, akan memastikan kelab utara London itu layak ke pusingan kedua, membuka peluang muncul juara kumpulan dan berpotensi mendapat undian lebih mudah pada pusingan kedua.

Gunners meraih kemenangan 2-1 ke atas Anderlecht dua minggu lalu walaupun gagal menguasai sebahagian besar perlawanan, namun Wenger tidak menjangkakan kelab Belgium itu akan terlalu menyerang di Stadium Emirates.

Atas sebab itulah, Wenger memberitahu pemainnya untuk mempamerkan kesabaran yang berjaya membantu mereka merobohkan benteng kebal Burnley selepas minit ke-70 dan akhirnya menang 3-0 dalam aksi Liga Perdana, Sabtu lalu.

Penyerang Chile Alexis Sanchez meledak jaringan ke-10 dengan dua jaringan untuk menamatkan tentangan Burnley dan Wenger percaya corak pasukannya akan kekal positif dan menuju ke landasan tepat walaupun kecewa pada peringkat awal apabila melihat penjaga gol Burnley, Tom Heaton menyelamatkan beberapa percubaan.

“Pada beberapa perlawanan di laman sendiri, kami tidak sabar dan sudah belajar. Kami lebih seimbang antara menyerang dan bertahan,” kata Wenger.

“Kami lebih tenang apabila kehilangan bola, lebih serius dan ia membantu menstabilkan corak permainan.”

Kunci kebangkitan Arsenal adalah persembahan cemerlang Sanchez, pemain yang dibeli dari Barcelona pada pramusim, dengan Wenger meletakkannya di posisi penyerang tengah susulan kecederaan perancang Jerman, Mesut Ozil.

Wenger yakin Sanchez mampu menggalas tanggungjawab tambahan, membandingkan dirinya dengan bekas penyerang Liverpool dari Uruguay, Luis Suarez menerusi ‘bola sepak jalanan’ yang sukar Amerika Selatan.

“Saya sedia memberikan lebih untuknya, tapi dia menyesuaikan diri lebih pantas daripada yang dijangkakan ,” kata Wenger.

“Kini saya meletakkannya di tengah dan dia mempamerkan kemampuan mencari bola, menggelecek dan boleh menggempur benteng lawan.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:03 AM