ENAM kumpulan yang menerima undian teratas juri bagi Kerusi Panas Maharaja Lawak Mega 2014.
Oleh Norhayati Nordin

Meskipun pentas sebenar Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014) akan mula dibuka pada 14 November ini jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132), sambutan hangat penonton nyata sudah diterima.

Pada Jumaat lalu seba-nyak lapan daripada 16 kumpulan peserta bersaing untuk merebut laluan 'kerusi panas' disediakan. Namun difahamkan, cuma enam kumpulan saja akan mara.

Sehubungan itu, terlalu awal untuk meramalkan nasib kumpulan peserta yang berkemungkinan layak diserapkan bersaing di pentas MLM 2014.

Membuka tirai persaingan 'kerusi panas' minggu lalu ialah kumpulan Mamu yang dianggotai Wan Azrul Azizan atau Ajo dan Abu Musarrif Abu Bakar (Abu) dengan lawak spontan mencuit hati.

Mengetengahkan kisah lelaki hilang isteri yang membuat aduan kepada pengakap sekolah itu berjaya memikat hati juri profesional iaitu pengulas sukan terkenal, Datuk Hasbullah Awang, penyanyi Noh Hujan dan pelakon Anzalna Nasir.

Selepas Mamu, Dewan Teater Selangor, Shah Alam yang menjadi lokasi persaingan 'kerusi panas' MLM 2014 itu diteruskan oleh kumpulan Samurai.

Dianggotai Mohd Zahrin Md Kassim (Arin), Abd Rahman Kasim (Man) dan Ahmad Fauzi Manat (Acong), Samurai mengetengah sketsa penyanyi rock.

Sketsa bersahaja mereka sangat mencuit hati apabila memilih lagu baru Taufiq Batisah, Awak Kat Mana sebagai bahan jenaka.

Terus mencuba nasib menghiburkan penonton ialah kumpulan Sakan diang-gotai Mohd Shaiful Nizam Mansor (Jelut), Husniashraf Hussain (Ash) dan Ku Isma Faizul Ku Ismail (Pakku) yang kurang menjadi.

Lawak dipersembahkan cukup longgar dan kurang menyengat. Diikuti seterusnya kumpulan Chilok diwakili Mohd Azwan Sabri (Chiwan), Mohd Ilham Rusdy (Achok) dan Ridhzuan Mat Ali (Wan Lopez).

Chilok juga mempersembahkan lawak longgar yang kurang menghiburkan. Namun yang pasti mereka begitu berusaha mencuba dan memberi persaingan.

Dewan Teater Selangor kembali bertenaga dengan jeritan ketika kumpulan Ekzos dianggotai wan Sharizon Rahim (Jon LNJ), Ahmad Shazli Hashim (Lie Cuit) dan Raja Azri Raja Kamaruzzaman (Raja Azri) membuat persembahan.

Menampilkan sketsa tukang urut bersama pembantu dan pesakitnya, persembahan bersahaja mereka begitu menghiburkan. Bahkan, Noh sendiri mengakui sa-ngat terhibur dan tidak kering gusi ketawa.

Penonton dihiburkan lagi dengan persembahan lawak kumpulan J Bond diwakili Chacha, Mohd Rahmat Saidin (Che Mat) dan Norazhar Buyong (Pak Cu). Pun begitu, sayangnya jenaka J Bond kurang menyengat.

Diikuti pula persembahan jenaka Gap 2 dianggotai Azlan Abdullah, Rohaizat Samin dan Faridah Samsudin (CT Chubby) yang juga agak longgar dan kurang menghiburkan.

Tidak ketinggalan, penonton juga dihiburkan oleh kumpulan Spark diwakili Ismail Abdullah (Mail), Mohd Yurishah Tapah (Yus) dan Nor Azmi Ibrahim (Azmi Ketampi).

Persembahan Spark juga tidak begitu menghiburkan. Namun yang pasti aksi pengacara, Datuk AC Mizal memang bersahaja dan bijak membuat penonton ketawa.

Sebaik penilaian dibuat sepenuhnya juri profesional hanya enam kumpulan layak dipertimbangkan dalam cabaran 'kerusi panas' MLM 2014 iaitu Ekzos, Samurai, Mamu, Chilok, Sakan dan Spark.

Apapun, masih berbaki lapan lagi kumpulan akan berentap dalam cabaran 'kerusi panas' Jumaat ini. Siapakah yang akan mara ke pentas MLM 2014 nanti bersama Sepahtu, Shiro, Bocey, Virus, Nabil, Comey, Jalor, Sayot, Kepoh dan SYJ yang layak secara automatik.

Hasbullah berkata, rata-rata persembahan jenaka ditunjukkan peserta agak menghiburkan. Namun ada di antaranya dilihat longgar dan kurang menyengat.

"Bagaimanapun, saya tahu bukan mudah untuk mereka (peserta) membuat penonton ketawa. Saya dapati kesemua peserta sudah bekerja keras.

"Berlawak jenaka bukanlah perkara mudah. Justeru, saya mengharapkan mereka mampu memperbaiki mana yang kurang dalam persembahan," katanya.

Menurut Hasbullah lagi, beliau juga teruja apabila mendapat peluang duduk di kerusi juri untuk membuat penilaian. Katanya ternyata ia tidak mudah dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:03 AM