Kuala Lumpur: Maybank buat pertama kali memperkenalkan kemudahan e-Duit Raya menerusi Maybank2u dan Kad Hadiah Raya Maybank iaitu kemudahan yang ditawarkan kepada pelanggan untuk memberi duit raya melalui saluran elektronik dalam usaha menggalakkan perbankan tanpa tunai selain memberi lebih keselesaan kepada pelanggan menghulurkan hadiah pada musim perayaan.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Maybank Malaysia, Hamirullah Boorhan berkata, penerima boleh mengeluarkan duit yang diberikan di mana-mana mesin juruwang automatik (ATM) Maybank tanpa perlu memiliki sebarang kad.

“Kad Hadiah Raya Maybank pula adalah kaedah untuk memberi kejutan kepada orang yang disayangi dengan memberikan mereka duit dalam bentuk Kad Hadiah.

“Kad ini terdiri daripada Kad Visa yang sudah diaktifkan, didaftar dan diisi dengan jumlah wang dikehendaki. Pelanggan boleh memilih untuk mengisikan kad dengan wang bernilai RM50 hingga RM1,500,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, perkhidmatan dan produk pertama yang diperkenalkan di Malaysia itu amat berguna untuk pelanggan yang tidak dapat bersama orang yang disayangi semasa perayaan.

“Dengan perkhidmatan ini, ia akan memudahkan pergerakan pelanggan. Perkhidmatan ini bukan hanya menjimatkan masa, tetapi juga bagi menjaga alam sekitar dengan penggunaan kad yang boleh dikitar semula,” katanya.

Menurutnya, kumpulan terbabit komited untuk memberikan keselesaan kepada pelanggan dan penyediaan perkhidmatan berinovasi selari dengan matlamat untuk menginsankan perkhidmatan kewangan.

Kad Hadiah Raya Maybank boleh didapati di pusat kad Maybank terpilih antaranya 1Utama, The Gardens dan cawangan utama Maybank KL di Menara Maybank, Jalan Tun Perak.

Sementara itu, bagi mereka yang ingin menukarkan duit raya, mereka boleh mendapatkan wang kertas baru RM10 daripada ATM di 16 cawangan terpilih seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 6:55 AM