NORLIA Ghani bawa watak sedih dengan berkesan.
NORLIA Ghani bawa watak sedih dengan berkesan.
ELLIE (kiri) pamer lakonan mengesankan.
ELLIE (kiri) pamer lakonan mengesankan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Jika telefilem sempena Aidilfitri arahan Rashid Sibir, tentu ramai membayangkan ia adalah kisah meruntun perasaan dan me–ngalirkan air mata.

Sekali lagi, tema sama ditampilkan dalam telefilem Sinar Penghujung Takbir yang menemui penonton pada 17 Julai ini jam 2.30 petang menerusi saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Menurut Rashid, ia adalah pembaharuan dikehendaki Astro kerana beberapa tahun sebelum ini, konsep tema Aidilfitri ialah komedi.

“Pada 2005, saya tampil dengan telefilem berat dan sedih berjudul Pondok Buruk yang ditayangkan pada malam raya. Ketika itu, genre begitu kali pertama ditayang–kan di Astro.

“Kemudian mereka menukar konsep apabila menayangkan cerita komedi untuk mengisi musim perayaan. Pendek kata genre komedi menguasai Astro ketika itu.

“Cuma pada tahun lalu baru tema sedih diperkenalkan semula dan saya diminta menghasilkan sebuah telefilem yang mampu meruntun perasaan penonton,” katanya.

Sinar Penghujung Takbir menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ellie Suriati Omar, Norlia Ghani, Didie Alias, Harun Hashim, Amerul Affendi dan ramai lagi.

Ia mengisahkan dua beranak miskin iaitu wanita cacat penglihatan Senah (lakonan Ellie) dan ibunya, Mak Timah (Norlia) yang hidup dengan berniaga kerepek.

Sebelum menjadi buta, Senah sombong hingga nasihat ibu sering diabaikan. Dia yang sepatutnya dijodohkan dengan seorang lelaki tapi akhirnya memilih lelaki lain.

Senah dan suaminya kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur, malangnya mereka terbabit kemalangan jalan raya menyebabkan Senah buta. Bagaimanapun, ibu Senah sanggup menerima dan menjaganya.

Rashid berkata, barisan pelakon telefilem ini sememangnya mantap dan dia begitu kagum kerana masing-masing memberikan lakonan terbaik.

“Amerul mengagumkan saya kerana mempunyai ‘attitude’ lakonan yang hebat, Ellie pula cukup berkesan lakonannya, manakala Norlia sememangnya dikenali sebagai pelakon air mata.

“Didie pula berlakon dalam sisi yang lain. Jarang dia berlakon cerita berat dan lakonannya sangat menjadi. Harun pula sudah 12 tahun tak berlakon tapi sentuhannya belum hilang dan tetap hebat.

“Saya tak perlu nak bentuk dia kerana Harun memang seorang pelakon. Tujuan saya ambil dia adalah untuk kembalikan nostalgia kepada peminat. Babaknya tak banyak tapi dia suka dan berikan lakonan terbaik,” katanya.

Rashid berkata, keba–nyakan pelakon terbabit pernah bekerja bersamanya sekali gus membuatkan tugasnya lebih mudah.

“Sebelum penggambaran, kami berbincang sekejap di lokasi dan selepas itu mereka tahu tugas masing-masing. Boleh dikatakan penggambaran berjalan lancar tanpa masalah.

“Saya bagi panduan dan sekiranya ada antara mereka ‘over’, saya cepat-cepat potong kerana tak mahu membazirkan masa. Secara dasarnya saya memang berpuas hati,” katanya.

Tetap elemen sama

Bersesuaian dengan siaran sempena Aidilfitri, Rashid turut memasukkan beberapa lagu raya serta lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon disesuaikan dengan karakter Senah.

“Telefilem ini masih tak lari daripada konsep Rashid Sibir. Cuma pada tahun ini, sudut fotografi yang ditampilkan tentunya berbeza. Saya gunakan kamera HD yang memberikan hasil menarik dan nampak seperti filem.

“Saya cuba berikan penonton momen demi momen yang menarik. Macam biasa, elemen kematian tetap dimuatkan. Sebenarnya apabila orang nampak saya sebagai pengarah air mata, lebih memberi tekanan,” katanya.

Menurut Rashid, dia takut penonton mempertikaikan kerjanya apabila unsur sedih itu tak sampai.

“Rasanya buat drama komedi lebih senang. Saya nak buat cerita sedih yang tak paksa penonton untuk menangis.

“Situasi yang ditampil–kan mesti membuat peminat berderai-derai air mata. Apapun saya mempunyai resipi bagaimana nak bawa jalan cerita supaya peminat teruja menonton dari awal hingga akhir,” katanya.

Sinopsis

Ia mengisahkan Senah yang hanya bergantung hidup dengan ibunya, Mak Timah selepas menjadi buta akibat kemalangan jalan raya bersama suaminya, Mail dan anak lelaki mereka, Hairul.

Selepas kemalangan itu Mail menghilangkan diri dan membawa Hairul ketika Senah dalam koma. Kerana kasihkan anaknya dan tidak mahu Senah meroyan, Mak Timah mereka cerita bahawa anaknya meninggal dunia akibat kemalangan itu.

Sementara itu, Nordin anak orang kaya kampung itu kecewa kerana impiannya untuk mengahwini Senah tidak kesampaian. Lalu, dia menyimpan perasaan dendam terhadap Senah dan bersumpah akan menghancurkan hidup Senah selagi dia masih hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 11:12 AM
Digital NSTP Subscribe