FIZA beraya di Kapar, Teh ke Seremban manakala Hazlin di kampung nenek di Mantin.
Oleh Ramlah Zainal


Bukan mudah mengendalikan program bual bicara seperti Wanita Hari Ini (WHI), Malaysia Hari Ini (MHI) dan 999 kerana ia bersiaran secara langsung di kaca televisyen. Jika WHI mengupas topik berkaitan isu wanita, WHI memperkatakan isu semasa manakala 999 pula memaparkan kegiatan jenayah.

Namun, tiga personaliti TV3 iaitu Fiza Sab Jahan (WHI), Teh Syuhaida (WHI) dan Hazlin Hussain (999 dan MHI) berjaya membuktikan kredibiliti masing-masing. Mereka bukan bersandarkan paras rupa jelita semata-mata bahkan berbakat besar dan mempunyai ramai pengikut.

Tiga personaliti ini digandingkan sebagai penghias muka depan RAP sempena edisi khas hari raya. Selain mengulas perkembangan karier, mereka turut berkongsi persiapan menyambut lebaran yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Fiza tidak suka zon selesa

Namanya sudah sebati dengan program WHI sejak bersiaran pada pada 2010. Selaku pengacara, Fiza mengakui sentiasa membaiki prestasi persembahan dari semasa ke semasa.

“Walaupun sudah lima tahun bersiaran dalam WHI, saya tidak pernah menganggap diri sudah berada dalam zon selesa. Terus terang, saya masih gementar setiap kali bersiaran di kaca TV. Saya akan buat persiapan rapi sebelum bersiaran. Maklumlah, program WHI merangkumi semua aspek malah golongan wanita berubah setiap hari mengikut peredaran zaman,” katanya.

Menurut Fiza, setiap topik yang diketengahkan kali ini lebih kepada penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi wanita.

“Setiap topik dikupas lebih mendalam untuk mendekatkan program ini dengan penonton. Pihak kami juga memperbaharui kandungan bagi memastikannya lebih menarik.

“Selain WHI, saya turut mengacara program Sembang Sahur bergandingan dengan Lokman Hakim,” katanya.

Beralih sambutan raya pula, Fiza berkata, sudah lebih tiga tahun dia beraya secara solo sejak bercerai pada 2012. Seperti tahun sebelumnya, dia beraya bersama keluarganya di Kapar, Klang, Selangor.

“Saya tidak pernah berasa sunyi kerana dikelilingi keluarga tersayang. Persiapan raya lebih kepada empat anak saudara yang sangat rapat dan manja dengan saya. Saya pula lebih suka buat baju mengikut majlis dihadiri seperti rumah terbuka dan sebagainya. Pagi raya biasanya saya pakai baju kurung kain kapas kerana selesa.

“Memandangkan ramai sanak-saudara, kami akan menggunakan khidmat katering, tetapi mak tetap masak rendang daging cili padi yang menjadi kegemaran kami,” katanya.

Teh Syuhaida beraya di Seremban

Menurut Teh, WHI yang dikendalikan sejak lima tahun lalu sudah jadi sebahagian dirinya malah program itu turut mempengaruhi cara hidup, pemikiran dan penampilannya.

“Antara pengalaman paling menarik sepanjang mengacara WHI ialah ketika bersiaran secara langsung di Taman Tema Air Tambun, dua tahun lalu.

“Saya, rakan setugas dan kru produksi bukan saja bekerja tapi dapat beriadah bersama-sama. Bukan mudah dapat peluang bekerja sambil makan angin.

“Setiap hari saya belajar perkara baru. Masih banyak yang perlu saya perbaiki terutama gaya penyampaian, rujukan dan cara mengolah topik agar lebih menarik.

“Untuk memantapkan program ini cuma perlu ada sedikit pembaharuan kandungan iaitu pembabitan wanita luar bandar dalam segmen WHI, contohnya perkongsian aktiviti menjahit ala kampung,” katanya.

Sempena Syawal ini, Teh akan beraya bersama keluarganya di Seremban selama seminggu.

“Persiapan raya kali ini sudah saya siapkan sebelum puasa. Tahun ini saya sibuk dengan program istimewa Bersamamu iaitu Bersamamu Penuhi Impian sebanyak 4 episod untuk siaran sepanjang Ramadan.

“Baju raya cuma tiga pasang dan saya turut belikan baju untuk emak di kampung. Biskut raya, saya tempah saja.

“Sambutan raya kali ini lebih meriah apabila adik pulang dari Jeddah. Juadah kegemaran kami ialah rendang minang cili api yang dimasak emak,” katanya.

Hazlin beraya dengan nenek di Mantin

Personaliti paling muda, Hazlin pula berdepan cabaran besar apabila diberi kepercayaan mengendalikan tiga program sekali gus iaitu MHI, 999 dan Buletin Utama. Namun gadis lincah ini berusaha memberikan yang terbaik dan menerima pujian daripada pelbagai pihak.

“Setiap program memiliki kekuatan dan kelebihan tersendiri. Jiwa saya sudah sebati dengan program mencabar seperti 999 kerana sudah bersiaran sejak 2010.

“Jika dulu saya perlu keluar sebagai wartawan penyiaran untuk mencari berita, kini saya sekadar mengacara 999. Antara topik menarik edisi Ramadan adalah nombor ekor,” katanya.

Pada masa sama, Hazlin turut menimba pengalaman baru mengendalikan program MHI yang bersiaran secara langsung.

“Saya perlu menyesuaikan diri dengan barisan penyampai TV3 yang lain seperti Ally Iskandar dan Ahmad Fedtri Yahya ketika bersiaran. Banyak ilmu saya belajar daripada penyampai berpengalaman seperti mereka,” katanya.

Hazlin yang tampil berhijab tahun lalu akan beraya di kampung neneknya di Mantin, Negeri Sembilan.

“Sudah jadi kemestian beraya dengan nenek di kampung. Saya tidak sabar menikmati air tangan nenek dan emak saudara yang menyediakan juadah pada pagi raya.

“Antara menu kegemaran saya ialah rendang ayam, ketupat, nasi impit, kuak kacang dan lemang. Kuih raya pula semperit, biskut Arab dan Cornflakes,” katanya yang turut sibuk melakukan persiapan majlis perkahwinan yang akan berlangsung hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 4:31 AM