PEMAIN PDRM Mohd Faizal Abu Bakar (tengah) cuba melepasi  dua pemain Kelantan dalam aksi baru-baru ini.
PEMAIN PDRM Mohd Faizal Abu Bakar (tengah) cuba melepasi dua pemain Kelantan dalam aksi baru-baru ini.
Oleh Rodly Fadly


Kuala Lumpur: Loceng kecemasan sudah berbunyi dan barisan PDRM perlu segera bangun daripada ‘tidur’ untuk menilai diri mereka susulan kekalahan demi kekalahan dalam saingan Liga Super dengan keputusan terbaru menyaksikan kekalahan 1-3 di tangan Kelantan.

Ia adalah kekalahan kelapan daripada 15 perlawanan sekali gus menyebabkan PDRM turun ke tangga ketujuh liga dengan 21 mata.

Pengurus pasukan, Mubin Mokhtar yang kecewa dengan kekalahan itu berkata, pemain seharusnya bangkit segera dan bimbang dengan kekalahan itu selain perlu menyelamatkan Sang Saka Biru daripada terus ditimpa kekalahan.

“Kami boleh terima kekalahan kepada Johor DT atau Pahang. Tapi kalau pasukan bermasalah seperti Kelantan pun kita tidak mampu ambil kesempatan, apa lagi yang hendak dikata. Dulu dengan ATM yang tiada jurulatih pun kita tewas,” luah Mubin.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Begitu juga dengan pemain, jangan saling menyalahkan sebaliknya salahkan diri sendiri. Kekalahan ini adalah tanggungjawab mereka daripada penjaga gol hingga penyerang.

“Setiap pemain sepatutnya menilai prestasi diri sendiri dan bertanya adakah mereka sudah memberikan yang terbaik untuk pasukan? Adakah mereka sudah memberi seratus peratus dalam permainan?,” tanya Mubin.

Mubin berkata, beliau melihat kepincangan berlaku di setiap bahagian menyebabkan pintu gol mereka begitu mudah dibolosi yang membawa kepada kekalahan. Berdasarkan rekod, PDRM adalah pasukan yang paling banyak bolos iaitu 30 gol.

“Kalau orang menilai jumlah gol itu, tafsirannya sangat mudah iaitu bahagian pertahanan kami sangat lemah. Tapi hakikatnya, gol-gol itu bukan berpunca daripada kesilapan pertahanan semata-mata. Begitu juga pergerakan penyerang Ali (Ashfaq) dan (Drame) Tratore begitu mudah dirantai.

“Bahagian tengah juga begitu. Corak serangan biasa yang kami amalkan mudah dibaca lawan,” tegasnya.

Mubin berkata, tempoh rehat sempena Aidilfitri akan digunakan untuk menilai prestasi semua pemain dan beliau mengingatkan pemain bahawa mereka perlu menyalahkan diri sendiri jika selepas ini nama mereka tercicir daripada kesebelasan utama walaupun berstatus bintang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:06 AM