Kuala Lumpur: Saingan hari pertama Piala Trek Jepun yang berlangsung di Velodrom Izu Shuzenki menyaksikan pelumba negara Fatehah Mustapa gah menguasai pentas acara pecut dan keirin wanita sekali gus menghadiahkan dua emas buat negara.

Pelumba kelahiran Terengganu itu menewaskan pencabar utama Ishii Takako dari Jepun untuk merangkul emas acara pecut manakala pelumba Korea Cho Sunyoung menewaskan pelumba tuan rumah Kase Kanako untuk meraih gangsa.

Rentak Fatehah terus konsisten apabila dia turus cemerlang apabila menguasai acara keirin.

Bagi Fatehah, kemenangan itu kejayaan yang cukup membanggakan kerana boleh dijadikan ukuran sejauh mana kemampuannya ketika ini selepas lama berehat.

“Kemenangan ini menyuntik semangat saya untuk terus melakarkan kejayaan dan saya berharap dapat terus cemerlang dan menghadiahkan pingat buat negara,” katanya.

Sementara itu, pelumba Olimpik negara, Azizulhasni Awang turut menghadiahkan gangsa buat negara di kejohanan sama menerusi acara keirin.

Azizul gagal mengatasi pelumba tuan rumah Yuta Wakimoto yang merangkul emas manakala perak menjadi milik pelumba Russia, Denis Dmitriev.

Bagi ketua jurulatih negara, John Beslaey, kejayaan itu baru permulaan dan berharap baki dua hari lagi mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik membabitkan atlet negara termasuk barisan remaja yang turut sama beraksi di kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:07 AM