KIM Her mendapat tawaran BAI.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Sentiasa tenang. Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen mengakui tidak panik walaupun Tan Kim Her sekarang ini menjadi buruan Persatuan Badminton India (BAI).

Selepas kehilangan beberapa jurulatih termasuk Rashid Sidek dan Rosman Razak, Frost sepatutnya berasa gusar mengenai berita Kim Her bakal dilamar skuad India namun bekas pemain perseorangan Denmark itu masih tenang dengan situasi berkenaan.

“Tidak akan ada sebarang perubahan dalam struktur kejurulatihan BAM setakat ini dan kami juga belum mengambil langkah awal untuk menambah bilangan jurulatih,” katanya yang sebelum ini gembira selepas anak buahnya membawa pulang dua emas di Sukan SEA 2015 Singapura bulan lalu.

Jelasnya, apa yang berlaku terhadap Kim Her (menerima tawaran luar) adalah sesuatu yang normal buat kebanyakan jurulatih dalam persatuan badminton kebangsaan.

“Saya gembira kerana Kim Her terus memaklumkan perkara itu secepat mungkin selepas menerima tawaran berkenaan dan kami memberikan ruang serta masa untuk beliau mempertimbangkan sebaik mungkin.

“Bagaimanapun, BAM tetap kekal dengan apa yang kami janji serta tawarkan kepadanya sebelum ini selepas dilantik membimbing skuad beregu campuran negara bersama seorang lagi bekas pemain, Chin Eei Hui,” kata Frost.

Ujarnya, walau apa pun berlaku sekarang ini termasuk kehilangan jurulatih, ia bukan masa yang sesuai untuk mereka berasa panik selepas mempamerkan aksi terpuji di dua kejohanan baru-baru ini iaitu Piala Sudirman dan Sukan SEA 2015.

“Buat apa saya perlu berasa panik, saya juga tidak terfikir untuk mencari calon jurulatih baru. Kita hanya akan memulakan langkah jika Kim Her membuat keputusan untuk meninggalkan BAM,” kata Frost.

Kelmarin Kim Her memberitahu beliau enggan mengulas lanjut mengenai tawaran BAI yang mahu mengikat kontraknya selama lima tahun dengan membimbing skuad beregu lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:11 AM