Kemalangan yang mengorbankan Norila (gambar kecil). FOTO Ibrahim Isa
Oleh Ibrahim Isa


Muar: "Kami sepatutnya berbuka puasa di rumah arwah beramai-ramai bersama saudara-mara lain. Ini kerana, tahun ini ada ahli keluarga yang tidak sempat pulang ke kampung pada 1 Syawal.

"Malangnya, kami menerima khabar duka,” kata saudara kepada Norila Ismail, 56, yang maut dalam kemalangan di Jalan Pagoh-Parit Sulong, berhampiran Kangkar Selangar, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, anak Norila, Amira Azmir, 23, rakan Amira, Intan Suhana Ahmad, 22 dan kakak Norila, Asmah Ismail, 63, parah dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Norilla meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan dan mayatnya dibawa ke HPSF untuk dibedah siasat.

Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Amira bertembung sebuah lori

Saudara arwah yang enggan dikenali itu berkata, sebelum kejadian arwah bersama kakak, anak dan rakan anaknya ke pekan Parit Sulong membeli pelbagai barangan untuk berbuka puasa dan keperluan Aidilfitri sebelum pulang ke rumah di Lenga, di sini.

“Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran,” katanya ditemui di Unit Forensik HPSF di sini, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kereta Proton Persona dipandu Amira dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung lori di tempat kejadian.

"Akibat pertembungan kuat itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi parah.

"Pemandu lori berusia 50-an tidak cedera dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Penolong Kanan Bomba II, Ishak Kassim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.43 petang dan satu jentera serta kenderaan bantuan kecemasan (ERMS) membabitkan lapan anggota bomba ke lokasi kejadian

"Kami mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan semua mangsa dengan seorang daripadanya dikeluarkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 10:24 PM