BENDERA LHDNM berkibar megah di ruang udara Kuala Kubu Bharu.
TIDAK melepaskan peluang berselfie di ketinggian lebih 1,000 kaki.
BAGI yang belum berpengalaman dan tidak mempunyai lesen, boleh terbang secara tandem bersama jurupandu.
PERASAAN takut dan gayat pasti hilang setelah melepasi kawasan pelepasan.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin


Sesudah berjaya menawan puncak Kinabalu, menempuh arus deras di Sungai Padas, Sabah, mendaki Gunung Broga dan Gunung Datuk di Semenanjung, ahli kelab rekreasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) teruja apabila berpeluang ‘terbang’ di udara pula.

Seramai 23 ahli kelab digelar ‘Hasilian’ ini menguji ketahanan fizikal mahupun mental menerusi aktiviti paragliding yang memerlukan mereka mengatasi perasaan gayat pada ketinggian 1,400 kaki dari paras laut di Bukit Pahat, Kuala Kubu Bharu, baru-baru ini.

Menurut ketua pasukan ‘Hasilian’, Muhamad Syahrin Samsudin, aktiviti luncur udara atau paragliding dianjurkan bertujuan mengerat serta mengekalkan hubungan antara pegawai dari Pejabat CEO LHDNM bersama pegawai LHDNM lain termasuk Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah julung kali penyertaan ahli kami dalam sukan udara. Cabarannya tegar kerana kami perlu melawan perasaan ‘acrophobia’ atau gayat pada ketinggian lebih seribu kaki.

“Sudut lain ia baik buat peserta kerana melatih mereka mencabar sesuatu yang luar daripada kebiasaannya. Impak jika mereka berjaya menangani perasaan takut, keyakinan di dalam diri makin bertambah. Itu kualiti yang kita mahu dalam setiap ahli usai mereka melaksanakan aktiviti paragliding,” katanya.

Kata Syahrin, penerbangan dilakukan secara bergilir-gilir dan setiap peserta akan dibawa secara tandem, iaitu berdua bersama jurupandu penerbangan bertauliah. Mereka akan merasai pengalaman yang tidak dapat dilupakan meskipun waktu berada di udara singkat iaitu cuma 10 minit.

Bagi peserta wanita, Noryati Ahmad, beliau tidak yakin pada dirinya pada peringkat awal apabila dipelawa menyertai program ini oleh rakan sekelab.

“Saya bukan penggiat aktiviti lasak yang tegar. Lagipun, saya berjinak-jinak dengan aktiviti luar ini hanya pada awal tahun lalu. Secara peribadinya tidak banyak pengalaman mahupun pencapaian dalam aktiviti ekstrem.

“Jadi apabila dipelawa rakan, saya kurang yakin malah perasaan gementar apabila memikirkan saya mencuba paragliding. Namun, atas desakan mahupun pujukan rakan berterusan, saya kuatkan hati untuk mencuba,” katanya mengakui pembabitan dalam aktiviti sebegini memberi kesedaran mengenai seronoknya mengamalkan hidup lebih sihat dan aktif.

Bagi Mohd Safwan Che Harun pula, walaupun pernah mendapat kecederaan sewaktu turun dari puncak Kinabalu dan terpaksa bertongkat hingga ke bawah, ia tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk terus aktif dalam sukan lasak.

Katanya, sudah alah bisa tegal biasa, kecederaan mahupun kesakitan ditanggung akibat sukan ini tidak pernah membuatkan dia mengehadkan pembabitannya dalam aktiviti ekstrem.

“Saya aktif aktiviti luar sejak zaman persekolahan lagi dan meminati mendaki gunung. Rasanya kalau tidak dapat mendaki mahupun melakukan aktiviti lasak rasa macam tiada nikmat kehidupan.

“Saya jenis suka mencabar diri, jadi meskipun pernah cedera saya tidak serik malah mencabar diri semaksimum mungkin dalam aktiviti lasak. Jadi apabila dimaklumkan mengenai acara paragliding, saya terus mendaftarkan diri.

“Sebenarnya pada saya keseronokan sebenar ialah menikmati aktiviti ini bersama rakan akrab. Berkongsi minat serta menyokong antara satu sama lain membuatkan aktiviti sesukar ini menjadi lebih mudah,” katanya menyimpan hasrat menawan puncak Annapura Base Camp, di Banjaran Himalaya pada Ogos depan.

Seorang lagi peserta, Shanizawati Ahmad Syah, perasaan gayat memang tidak dapat dielakkan terutama pada larian sebelum terbang.

“Mujur kata-kata semangat dan petua yang diberikan oleh jurupandu membantu saya mengatasi perasaan itu. Saya dapat membuat larian lancar sekali gus sesi terbangan berhasil.

“Semua nampak kecil pada saya dan pandangan menjadi luas. Tidak dinafikan memang gayat, namun dibandingkan dengan pemandangan selama 10 minit dapat dinikmati saya ketika berada di atas, mengambil risiko itu adalah berbaloi,” jelasnya yang gembira memilih setuju terbang bersama ahli kelabnya.

Mengakui itu pengalaman bermakna, ibu kepada tiga anak itu berkata dia tidak akan menolak untuk terbang lagi jika aktiviti sama dianjurkan lagi oleh kelabnya kelak.

Biarpun pandangan zahir, paragliding nampak berbahaya, andai garis panduan keselamatan dan arahan jurupandu yang mendapat lesen daripada Jabatan Penerbangan Awam dipatuhi, ia aktiviti pengembaraan udara cukup selamat.

Di akhir aktiviti berkenaan, Syahrin menambah tidak mustahil dengan komitmen yang ditunjukkan ahli kelab ini terhadap sukan berkenaan, mereka akan ke Indonesia dan Filipina pula untuk mencuba aktiviti sama pada masa hadapan.

Lebih menarik lagi selepas kejayaan Hasilian menempuh cabaran ini, barisan pimpinannya merangka satu lagi aktiviti yang lebih mencabar yakni mencuba terjun udara atau skydiving dalam mencipta satu lagi sejarah kalangan pegawai LHDNM dalam pembabitan aktiviti lasak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:02 AM