FOTO Owee Ah Chun
Oleh Maiamalina Mohamed Amin


Pasir Mas: Pasangan suami isteri yang dituduh mendera kanak-kanak berusia lima tahun, sejak Januari 2015 mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan berkenaan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Pengakuan itu dibuat tertuduh pertama berusia 24 tahun dan suami berusia 39 tahun, di hadapan Hakim Dazuki Ali, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh pertama menghadapi dua pertuduhan iaitu didakwa menganiaya dengan menyebabkan kanak-kanak berusia lima tahun mengalami kecederaan fizikal dan emosi antara Januari 2015 hingga Mei 2015 di Kampung Bagus, Rantau Panjang.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa yang boleh dibicara mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tertuduh kedua yang juga bapa kandung mangsa didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan dan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada tempoh dan tempat yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Kelantan Julia Ibrahim yang menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian memutuskan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM20,000 untuk setiap pertuduhan dan perlu melapor diri di Balai Polis Rantau Panjang pada setiap 1 hingga 5hb, setiap bulan hingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Ogos 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 12:12 PM