DOLLAH (kanan) panggil pemain bersama skuad kebangsaan.
DOLLAH (kanan) panggil pemain bersama skuad kebangsaan.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: “Saya tak rasa apa-apa, saya OK saja,” kata jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh yang hanya mahu memberikan fokus kepada persiapan pasukan daripada memikirkan mengenai kedudukannya yang bakal dinilai Jawatankuasa Bertindak Khas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas hari raya ini.

Jawatankuasa itu ditubuhkan hasil persetujuan Mesyuarat Exco FAM kelmarin yang menyaksikan Timbalan Presiden Datuk Mokhtar Ahmad dilantik untuk mempengerusikan jawatankuasa khas untuk menilai prestasi jurulatih kebangsaan.

“Saya tak tahu,saya cuma ikut apa yang FAM nak buat. Saya hanya jalankan tugas saya. Apa yang saya tumpukan adalah pemain yang saya panggil untuk bersama skuad kebangsaan. Selain itu saya serahkan kpada FAM, siapa yang akan memantau (prestasi jurulatih),” kata Dollah kepada pemberita pada Klinik Kejurulatihan Bolasepak One Goal semalam.

Nasib pengendali itu bersama skuad kebangsaan masih belum dipastikan selepas persembahan hambar di kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 apabila seri 1-1 dengan Timor Leste dan tumpas 0-6 kepada Palestin dalam Kumpulan A bulan lalu.

Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri menyuarakan kekecewaan dengan prestasi itu dan bertekad untuk meletakkan jawatan andai skuad kebangsaan gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019.

Selain Dollah yang masih memiliki kontrak sehingga tahun depan selepas dilantik Julai tahun lalu menggantikan Datuk K Rajagobal, jawatankuasa itu turut akan menilai prestasi jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee dan Razip Ismail (Harimau Muda B) yang tamat kontrak hujung tahun ini.

Dollah akan kembali menyambung tugasnya dengan mempersiapkan skuad pilihan Malaysia bagi perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris Liverpool 24 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum mengharungi kempen kelayakan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi September ini.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, beliau berdepan kesukaran untuk membawa masuk pemain baru ke dalam pasukan kerana kebanyakannya gugup apabila beraksi di pentas antarabangsa.

“Kita ketandusan pemain yang beraksi di pentas antarabangsa. Dalam liga tempatan mungkin ramai yang bagus tapi bila pergi ke peringkat antarabangsa kita ada masalah sedikit.

“Itu sebab saya kena patah balik ke pemain lama. Saya tahu penyokong kita mahu pemain muda untuk beraksi, saya sendiri ingin pemain ini tapi bila panggil pemain muda mereka gugup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:00 AM